Kampung Sesumpah Mati

Best Blog Tips 8:01 AM

Bismillah walhamdulillah.

Arakian bermulanya sebuah ceritera di sebuah kampung yang damai bernama Kampung Sesumpah Mati, maka adalah wataknya diberi nama Budin, Ucop, dan Malim. Adapun mereka bertiga bersahabat baik semenjak kecil lagi.

Maka dihujung kampung itu ada sebuah warong. Adapun warung ia adalah kepunyaan Mael, menantu kepada tok penghulu Kampung Sesumpah Mati.

Maka diwaktu senja di suatu hari, adalah sahabat bertiga tadi mengunjungi warong yang kepunyaan Mael sambil menyanyi riang. Maka duduklah mereka dihujung penjuru warong tersebut. Maka mintalah mereka pebagai hidangan yang istimewa yang layak dihidang penghuni syurga.

Sementelah terhidang segala makanan itu maka makanlah mereka tanpa basmallah dibacakan. Maka syaitan ketawa terdekah-dekah ditepi.

Seusai ikan yang gemuk kini tinggal tulang, maka inginlah mereka berangkat pulang, maka di panggilnya Mael dan dimintanya Mael akan mengira jumlah bayaran. Maka mengiralah kesemua itu dan berjumlah semua itu 4 dirham sahaja.

Maka keluarkanlah mereka uncang duit mereka, dan amatlah terkejut mereka akan melihat jumlah didalamnya hanyalah 1 dirham.

Maka gelisahlah sekalian mereka bertiga, mencari akal untuk melepaskan diri.

Adapun Ucop yang bergeliga otaknya berbisik pada Budin setelah mendapat ilham dari syaitan. Maka fahamlah Budin akan rancangan itu kendatipun dia dikambing hitamkan.

" Mael, bawakan aku senaskah Al Quran". Maka Budin mula mengatur langkah.

Maka adat melayan tetamu dan pelanggan, Mael menuruti segala mahu Budin. Al Quran merah milik atuknya dibawanya.

Adapun setelah Al Quran itu di tangannya, Buden lalu bersumpah,

Wallahi, Wabillahi, Watallahi, aku Budin bin Badin bersumpah aku telah membayar semua harga makanan ini berjumlah 4 dirham pada Mael. Kalau aku menipu azab Allah akan menimpa aku.

Terkejutlah Mael mendengar sumpah tersebut kerana adapun sumpah tersebut tiada didengarinya sebelum ini dan tiadalah jua ia pelajari dalam Islam. Syaitan pula makin galak ketawanya.



5 Mei 2011
Kangar, Perlis

0 Catitan sahabat: