Ku sambung ringkasan tulisan Dr Abdullah Nasih Ulwan kembali.
4. Mu’aqabah (deraan)
Asasnya terkandung dalam firman Allah dalam surah A1-Baqarah:
“Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)
Definisi mu’aqabah (deraan) sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat di atas, seseorang mukmin apabila ia meneliti dan menghisab dirinya, lalu ia mendapati kekurangan pada amalannya atau ia telah melakukan dosa adalah tidak sepatutnya beliau mengenepikannya begitu sahaja apa yang telah dilakukannya. ini kerana dengan sifat menganggap mudah terhadap dosa yang dilakukannya akan mendorongnya untuk kembali melakukan dosa serta menyukarkannya untuk meninggalkan kemaksiatan. Bahkan sepatutnyalah beliau mengenakan satu hukuman (deraan) ke atas dirinya dengan deraan yang diharuskan sebagaimana beliau mendera keluarga dan anak-anaknya.
Dalam konteks ini, deraan ini bertindak sebagai penghalang kepadanya untuk melakukan dosa, seterusnya membawa kepada ketakwaan dan ke suatu kehidupan yang penuh dengan kelebihan dan kesejahteraan.
Ketika mana kita menyatakan: “Sudah sepatutnyalah beliau mengenakan satu hukuman ke atas dirinya dengan deraan yang diharuskan”, kenyataan ini ialah untuk mengelakkan serta berhati-hati melakukan deraan yang diharamkan seperti mendera dirinya dengan mengazabkan satu anggota badannya dengan menggunakan api, atau beliau mandi junub di satu lapangan yang terbuka di hari yang bersangatan sejuknya, atau beliau menghalang dirinya dari makan dan minum dalam bentuk yang boleh memberikan kemudaratan kepada dirinya.
Deraan seperti yang disebutkan di atas atau menyamainya adalah merupakan tegahan syarak yang mana terkandung dalam pernyataan firman Allah dalam surah Al-Baqarah:
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” (Al- Baqarah: 195)
serta apa yang difahami dari firman Allah:
“Dan janganlah kamu membunuh diri-diri kamu, sesungguhnya Allah adalah amat mengasihi kamu.” (An-Nisa’: 21)
Para salafus salih (Allah meredai mereka) telah memberikan contoh teladan betapa perilaku mereka dalam ketakwaan dan muhasabah mereka, serta kelaziman mereka mengenakan deraan ke atas diri mereka dengan deraan-deraan yang tertentu apabila berlaku perlanggaran dan keazaman mereka untuk melakukan ketaatan, sekiranya ada berlaku mereka mempermudahkan ketaatan tersebut. Kami tidak keberatan untuk mengutarakan beberapa contoh teladan.
Diriwayatkan dari baginda Umar Al-Faruq: Pada suatu ketika baginda telah keluar ke kebunnya dan sekembalinya (daripada kebunnya) didapati orang ramai telah sembahyang asar lantas baginda berkata:
“Sesungguhnya aku telah ke kebunku dan sekembalinya aku dari sana, aku dapati orang ramai telah sembahyang asar! Kebunku itu adalah merupakan sedekah untuk orang-orang miskin.”
Berkata Al-Laith: “Ini adalah kerana baginda telah luput sembahyang asar berjemaah.”
Juga diriwayatkan daripada baginda:
Bahawa baginda telah disibukkan oleh suatu urusan di waktu maghrib sehingga keluar dia biji bintang, manakala selesai baginda bersembahyang, baginda memerdekakan dua orang hamba.
Pada penilaianku sesungguhnya apabila seseorang pendakwah menghukum diri mereka apabila berlaku sebarang kecuaian sepertimana deraan-deraan di atas, maka sesungguhnya tidak diragui lagi bahawa beliau sedikit demi sedikit dengan pantasnya maju ke arah ketakwaan dan mempercepatkan perjalanannya di jalan kerohanian. Tanpa diragui lagi untuknya sampai di lingkungan tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.
5. Mujahadah
Asasnya terdapat di dalam firman Allah surah Al-Ankabut: “Dan orang-orang yang berusaha dengan ber sungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memper baiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)
Pengertian mujahadah sebagaimana pengertian ayat di atas, iaitu seseorang mukmin apabila diselubungi oleh perasaan malas dan condong kepada keduniaan serta gagal untuk melaksanakan amalan sunat dan ketaatan di waktunya maka beliau sepatutnya berusaha agar dapat menunaikan perkara-perkara sunat lebih banyak dan yang dibuat sebelumnya. Beliau memaksa serta mewajibkan dirinya dengan penuh semangat untuk berterusan mengekalkan amalan tersebut. Hinggakan kesemua amalan ketaatan yang merupakan paksaan pada awalnya, di suatu masa nanti akan menjadi kebiasaan dan sebati dalam dirinya.
Pada penilaianku, saudaraku pendakwah! Bahawa apabila engkau mengusahakan diri engkau dengan mujahadah yang sebegini dan melalui jalan yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. serta mengikuti jejak langkah para salafus salih, maka sesungguhnya engkau tidak diragui lagi sedikit demi sedikit maju ke arah ketakwaan, berjalan engkau di jalan kerohanian dan tiba engkau ke suatu sudut perhentian di tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.
Dan menurut Almarhum Ust Said Hawa, ada 4 rukun mujahadah.
1. Senyap - kurang bercakap, melainkan zikir dan perkara kebaikan.
2. Berlapar - kurangkan makan. Banyak makan akan melebarkan ruang syaitan yang masuk ke badan manusia melalui saluran darah.
3. Bersendirian atau uzlah - prinsip asas (al-aslu) dalam hidup bermasyarat ialah perlunya bercampur gaul (khultoh). Akan tetapi, perlu ada masa untuk kita bersedirian untuk bertawajjuh di hadapan Allah.
4. Kurangkan tidur.
~dunia baru
bumi Wakafan MADI
29 Sept 2011
Jalan Menuju Ketaqwaan II
Labels:
Tarbawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Catitan sahabat:
Post a Comment