Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Ihfazillah yahfazka

Best Blog Tips 12:02 PM 0 Comments



Nabi pernah berpesan kepada Ibn Abbas, "ihfazillah yahfazka" atau mafhum hadis penuh seperti dibawah

"Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Jagalah Allah nescaya Allah akan mejagamu. Jagalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."
 (Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302)

Maka, selayaknya kita sebagai muslim harus pasak dalam diri, inilah aqidah kita!

Korbankan cinta kita pada hal yang lain untuk mengutamakan Allah. Bukan soal solat dan urusan perintah Allah sahaja, bahkan soal rezeki dan segala hal yang lain.

Tiada ruang untuk kita menyerahkan pada yang lain selain Allah dalam kehidupan ini.

Allahuakbar! Allah Maha Besar - selari dengan ungkapan takbir ini sayugialah kita memuhasabah diri untuk terus membesarkan Allah.

Moga Allah memandu hati kita.

faqir ilallah
junaidiahmad

Solusi jiwa racau

Best Blog Tips 12:15 PM 0 Comments

Apabila dibebani pelbagai masalah berat, atau hati dirundum kekecewaan, mahupun apabila iman dicalari maksiat, manusia sering silap memilih solusi.

Mereka jadikan tidur itu solusi kononnya selepas tidur segala kegusaran itu hilang. Kadangkala makan berlebihan itu difikirkan solusi yang meredakan kegelisahan itu, dan ada yang berfikir dengan karoke serta menjerit itu mampu melenyapkan kekeliruan ini.

Hakikatnya, semua itu hanya menambah derita jiwa itu.

Syaitan semakin kuat dan galak menambah perisa noda pada hati. Dan jahitan luka dihati itu mudah terungkai serta membuat hati semakin parah yang akhirnya membawa kepada 'kematian' hati.

Ambillah solusi yang diajar oleh fitrah. “Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” - (Ar Ra’d : 28)

Ambillah wuduk.

Tataplah kalamNya.

Dirikanlah solat sunat.

Atau, hiasi hati dan bibir dengan zikir-zikir. Paling kurang, sebutlah nama Tuhanmu itu berulang kali.. Maka itulah solusi yang benar-benar menatijahkan kedamaian hati, dunia dan akhirat.

Kembalikan hati yang dicuri itu kepada Pemiliknya.

faqir ilallah 
junaidi ahmad

Tajamkan pensilmu

Best Blog Tips 12:59 PM 0 Comments


Bismillah walhamdulillah. Allahumma solli 'ala Muhammad.

Selalu kita mencemburui dan dengki apa yang ada pada sahabat kita. Mereka punyai kereta, kita cemburu. Mereka punyai sedikit kelebihan terus jua kita cemburu. Kerana pada kita, kehidupan mereka lebih baik dari kita. Lalu kita bermimpi kita akan punyai apa yang mereka ada, bahkan lebih dari mereka!

Ikhwah, sedarlah dari mimpi itu! Mimpi itu hanya mengulit kalian jauh dari realiti sebenar.

Aku tidak menghalang darimu untuk mencemburui mereka, tapi itu hal yang kecil sahabat. Setiap kita punyai kelebihan yang tersendiri. Tidak kecuali seorang pun!

Maka, fokuslah pada kelebihan itu. Gali, dan ketemuinya sendiri. Gilap dan sinarkanlah ia. dan kembangkanlah ia demi meraih redha Ilahi.

Inilah yang aku temui sebuah mutiara kehidupan yang aku fahami sekarang, maka aku kongsikan dengan kalian. Moga ada manfaat besar untuk bersama.

"Tajamkan pensilmu sendiri, jangan mencemburui pen yang ada pada sahabatmu. Agar kertas putih tidak terus dibiarkan kosong."

faqir ilallah
junaidiahmad

Kata Luhur

Best Blog Tips 6:41 PM 0 Comments

Bismillah.

Kata-kata mereka menjadi motivasi aku.

Aku harap begitu jua untukmu sahabat. Moga diteguhkan kaki ni untuk terus menapaki perjuangan. Kita harus yakin dengan jalan yang diambil. Jangan sesekali goyah dan menyesal.

InsyaAllah, dengan kesabaran dan keikhlasan, Rasulillah SAW menanti kita dengan mendepangkan tangan baginda yang mulia menyambut kita sebagai umatnya.

Kebahagiaan yang bagaimana lagi kau mahu?


 


faqir ilallah
Taman Kemajuan
Rabiul Akhir 1433H

Pesanan Murabbi

Best Blog Tips 9:38 AM 0 Comments

Bismillah.

As Syahid Syeikh Ahmad Yassin pernah berpesan,

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah dengan meniggalkan pelbagai keseronokkan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian.Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia,mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kahidupan Rasulullah s.a.w.


Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya, lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku untuk mendekatkan diri kepada sunnah nabi kalian yang agung.


Wahai para pemuda,aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggungjawab.Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh-kesah.Aku menyeru kalian untuk menghadap Allah s.w.t dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian.Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.


Aku ingin kalian tidak tidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan,melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantinya dengan kata amal,kerja dan zikir kepada Allah.Wahai anak-anakku aku amat berharap kalian tidak sibuk terjerumus ke dalam arus syahwat.


Wahai puteriku aku ingin kalian berjanji kepada Allah akan mengenakan hijab secara jujur dan betul.Aku meminta kalian berjanji kepada Allah bahawa kalian mengambil peduli tentang agama dan nabi kalian yang mulia.Jadikanlah ibunda kalian,Khadijah dan Aisyah sebagai teladan.Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian.Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda mendekati kalian.


Kepada semua,aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang.bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan.Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah.Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat.Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik.Latihlah kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan.Berpeganglah kepada agama kalian.Carilah sebab-sebabnya dan tawakkallah kepada Allah.

Allahurabbi. Terus menikam dalam jiwa pesanan sang pejuang ini. Dari hari terus ke hati.

InsyaALlah, akan kami penuhi pesananmu ini wahai peminang bidadari syurga.

faqir ilallah
Taman Kemajuan
Rabiul Awal 1433H

Berdamailah Dengan Takdir

Best Blog Tips 8:39 AM 1 Comments



Bismillah.

Untuk santapan pagi ini, aku kongsikan coretan Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

**

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini,

"Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata."

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabi'e nya.

Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.

Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya. Akur kepada Pencipta senja.

Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?

Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, "Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."

Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.

**

Aku redha Allah Tuhanku, Islam agamaku dan Nabi Muhammad itu rasulku.

faqir ilallah
bumi wakafan MADI
03 Rabiul Awal 1433H

Jalan pintas menuju kebahagiaan

Best Blog Tips 4:20 PM 0 Comments

Bismillah.

Bercakap soal bahagia lagi, aku membelek beberapa buku dan artikel yang berdiskusi tentang bahagia. Antaranya Tasauf Moden karya Pak Hamka. Panjang huraiannya.

Namun, ketika hadir sebuah majlis ilmu aku tertarik dengan satu hadis, yang aku kira ia adalah rumusan tentang definisi bahagia yang aku cari.

Hadis tersebut bercerita tentang kemanisan iman. Bagiku, tiada kebahagiaan yang lebih besar melainkan ketika mana hati ini diberi merasai kemanisan iman. MasyaAllah..sangat bahagia.

3 perkara yang membuahkan buah iman yang manis disantap oleh hati ini

Pertama, bersyukur apabila diberi nikmat.

Kedua, bersabar apabila ditimpa musibah

Ketiga, segera bertaubat apabila melakukan maksiat.

Inilah jalan pintas untuk mencapai kebahagiaan di dunia ini mahupun di akhirat. Sekiranya ketiga-tiga ini berkumpul didalam hati seseorang hambaNya, hambaNya itu pasti seorang yang sangat bahagia.

Tapi ya sahabat, walau ia jalan pintas, ia tetap sukar untuk melaluinya. Halangan dan duri tetap menunggu.Itulah lumrahnya. Mana seronok memburu jikalau tiada onak dan duri.

Moga aku yang dhaif ini peroleh bahagia yang ku cari ini.

“Ya Allah, anugerahkan aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orangtuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”

faqir ilallah
Taman Kemajuan
29 Safar 2012

Sebelum lelapnya malam

Best Blog Tips 12:24 AM 0 Comments



As Syahid Syed Qutb pernah melontarkan soal


Wahai saudaraku,apakah engkau sudah jemu berjuang?sekiranye engkau telah membuang senjata dari bahumu,maka siapakah yg akan mengubat luka-luka mereka yang terkorban,dan mengibarkan panji-panjiNya semula ??As-Syahid Syed Qutb

**

Ayuh,kita jawab "kitalah yang akan mengubat luka mereka yang terkorban dan kita jualah yang akan terus mengibar panji-panji tersebut tanpa jemu!!

**

Selamat malam sahabat-sahabat. Meski mata ini pejam melepas lelah, jangan sesekali kita pejamkan hati untuk terus berjuang. Moga esok bangkit dalam ketaatan padaNya.


**

Alangkah indahnya jika dapat tidur untuk selamanya sepertimana Saidina Hamzah dan dibangkitkan bersama Rasulullah...aku ingin begitu.... T_T

**

Doa tidur.

"Dengan nama engkau ya Allah, aku hidup dan mati"

**

lampu dipadamkan.


faqir ilallah
27 Safar 2012
Taman Kemajuan

Sarapan hari ini

Best Blog Tips 5:30 AM 0 Comments

Bismillah.

Santapan untuk pagi ini. Moga rohani kalian kenyang. Hadam baik-baik.

‎"Panglima ulung umat Islam, Salahuddin Al-Ayyubi cuma meninggalkan solat berjemaah sebanyak tiga kali sahaja sepanjang hidupnya menurut satu riwayat. Itu pun semasa beliau sedang sakit dan ketika nazak. Ketika itu, beliau bangun untuk menyertai solat berjemaah, namun beliau tiba-tiba terjatuh dan pengsan. Selepas tersedar & dipangku oleh beberapa orang yang berada di sekeliling, semasa itu para jemaah sudah pun selesai bersolat, ucapan pertama yang keluar dari mulut beliau ialah "Masih lagikah mereka (jemaah) sedang bersolat? Alangkah ruginya aku tidak dapat bersama bersolat dengan mereka"

-Ustaz Zahazan Mohamad

al faqir ilallah
Taman Kemajuan
26 Safar 1433H

Si anai- anai

Best Blog Tips 8:58 AM 2 Comments


ku buka pintu gersang
ku lihat di ufuk kanan
segerombolan anai-anai membina terowong
aku khuatir - lalu aku robohkan
esok -mereka masih punyai terowong baru
aku robohkan dan bersihkan
lusa - masih mereka membina terowong jua

aku robohkan - mereka bina
aku robohkan - mereka bina lagi
aku robohkan - mereka tetap membinanya kembali

seolah sebuah pertarungan kemandirian
siapa pemenang?
jawabnya, yang tiada putus asa itulah.

jangan putus asa sahabat. =)


~belajar di universiti kehidupan
junaidiahmad
20 Nov 2011
Bumi Wakafan MADI

Kembali dakapan cinta Ilahi

Best Blog Tips 4:13 PM 0 Comments


Indahnya taubat itu.

Saat air mata wahai akhi, mengalir meminta ampun kepada Tuhan dengan hati yang takut dan mengharap, Dia mencampakan rasa yang tenang. Tenang dalam linangan air mata. Tenang dalam dakapan rahmat Ilahi.

Dari ruang dan peluang yang masih Allah berikan ini, marilah kita bersujud meminta keampunan darinya.

"Tapi dosaku bagai gunung. Setiap dengusan nafasku bergelumang dengan maksiat. Apakah Tuhan memandang aku yang terlalu hina ini??"

Akhi, mari aku lemparkan selembar kisah untuk kau renungi. Untuk aku jua.

Begini akhi,pada suatu hari Umar Ibnu Khathab masuk ke rumah Rasulullah SAW dalam keadaan menangis, padahal beliau terkenal orang yang keras dan kuat hati.

Rasullullah bertanya, "Wahai Umar, apakah yang menyebabkan engkau menangis sebegini??"

"Di depan pintu Rasulullah SAW ini, ada seorang pemuda yang menangis tersedu-sedu. Aku terharu melihatnya, hingga aku sendiri turut menangis.” Jawab Umar.

Rasulullah SAW berkata, “Perintahkan dia masuk!” Anak muda itu pun masuk ke rumah Rasulullah SAW dalam keadaan masih mencucurkan air mata.

Rasulullah SAW bertanya, “Apakah sebabnya engkau menangis, wahai anak muda?”

“Aku menangis mengenang dosaku yang amat banyak. Saking banyaknya, rasanya pundakku tiada kuasa lagi memikulnya.”, jawab anak muda.

Terjadilah tanya jawab antara Rasulullah SAW dengan pemuda itu.

Rasulullah SAW bertanya, “Apakah engkau menyekutukan Tuhan, syirik?”

“Tidak!” jawab pemuda.

“Kalau demikian, Tuhan akan mengampuni dosa-dosamu, walaupun dosamu itu seberat langit, bumi dan gunung,” sahut Rasulullah SAW.

“Dosaku lebih besar daripada itu lagi,” kata pemuda itu.

“Apakah dosamu itu lebih besar dari seluruh tahta?” tanya Rasulullah SAW.

“Memang, lebih besar dari itu, ya Rasulullah,” jawab pemuda itu.

Rasulullah SAW bertanya lagi, “Apakah lebih besar daripada Arsy?”

Jawab pemuda itu, “Lebih besar lagi!”

“Apakah dosamu itu lebih besar dari sifat pengampun dan rahmat Tuhanmu?” sahut Rasulullah SAW.

Jawab pemuda itu, “Tidak ya Rasulullah, ampunan Tuhan lebih besar daripada dosaku. Tidak ada sesuatu yang lebih besar daripada ampunan Tuhan.”

Tanya Rasulullah SAW, “Terangkanlah dosa yang telah engkau lakukan itu, dan jangan engkau segan dan merasa malu-malu.”

Akhirnya, anak muda itu bercerita “Saya bekerja sebagai penjaga kubur, sudah tujuh tahun lamanya. Pada suatu hari, meninggal seorang budak perempuan milik seorang golongan Ansar, dan dikuburkan di pemakaman yang saya jaga itu. Saya digoda oleh iblis sehingga diwaktu malam aku bongkar kuburan itu kembali. Saya curi kain kafan yang membalut mayat wanita itu. Kemudian saya meninggalkan tempat itu. tetapi sebelum jauh, iblis laknatullah sekali lagi membisikkan padaku,agar tidak meninggalkan wanita itu begitu sahaja. Lalu aku berpatah kembali, dan berzina dengan mayat perempuan itu.

Saat itu mayat tersebut bersuara,“Celakalah engkau hai anak muda! Tidakkah engkau melakukan perbuatan kejam terhadap seorang wanita yang tidak berdaya lagi? Sampai hatikah engkau membiarkan aku menghadap Tuhan dalam keadaan telanjang?”

Lalu aku melarikan diri ketakutan.

Mendengar keterangan itu, maka Rasulullah SAW sangat marah seraya berkata, “Engkau memang seorang yang fasik dan akan masuk neraka!”

Seketika itu juga baginda mengusir anak muda itu. Anak muda itu terasa hatinya remuk dan tiada makna lagi hidup di dunia kala ini.

Sedang Allah telah mendengar taubatnya sebelum anak muda tersebut berjumpa Rasulullah.

Dia selalu memohon do’a kepada Tuhan,
“Ya Tuhanku, aku menyatakan taubat dari perbuatan yang sesat itu. Jika Engkau, ya Tuhan, masih memberikan ampunan atas dosa yang aku perbuat itu, maka sampaikan hal itu kepada Rasulullah SAW. Jika dosaku itu memang tidak Engkau ampuni lagi, maka turunkanlah api dari langit untuk membakar kulitku sehingga aku menjadi hangus, sebagai balasan atas dosa yang aku lakukan itu.”

Lalu Malaikat Jibril bertemu dengan Rasulullah SAW.

"Wahai manusia teragung, apakah dosa yang dilakukan anak muda sebentar tadi lebih besar dari pengampunan Allah? Ketahuilah, Allah telah mengampuni dia dengan rahmatNya."

Rasulullah SAW menyedari kesilapannya,justeru meminta Saidina Umar memanggil kembali anak muda tersebut.

Si anak muda menyambut perkhabaran itu dengan penuh kesyukuran.

Begitulah,wahai akhi, rahmat Allah itu Maha Luas. Lebih besar dari segala maksiat dan noda yang kau perbuat. Meski nodamu itu jika dicurah ke lautan, lautan menjadi hitam kerana banyaknya noda itu, tapi yakinlah rahmat Allah lebih banyak dan besar dari itu. Ia mampu menjernihkan lautan hitam tersebut.

Adapun wahai sahabat, ada tiga syarat untuk Allah SWT menerima taubatmu itu.

1. Berhenti dari kemaksiatan tersebut
2. menyesali dosa yang telah dilakukan tadi
3. bertekad untuk tidak mengulanginya selamanya

Marilah, bersama-sama kita membasuh jiwa kita yang kotor ini. Allah menunggu taubat hambaNya untuk diberikan pengampunan.

~berusaha menjadi hambaMu
junaidiahmad
15 Nov 2011
Pusat Agensi HPA,MADI

Ghuraba'

Best Blog Tips 7:56 AM 1 Comments

bawakan aku bersama~

lama aku perhatikan - dengan tekun,
manusia yang tidak henti- henti berjalan di suatu jalan,
jalan yang berduri dan penuh dengan lopak-lopak cemuhan,

kelompok itu - sedikit - tapi kuat, terus berjalan
ketika hujan batu melanda mahupun panas terik membakar jasad
benak otak aku kehairanan - apakah mereka tidak punyai perasaan?

aku amati dalam-dalam (dan diam-diam)
ya, mereka dipandang serong - oleh umat yang tidak memahami
ya, mereka berdarah luka dicalar duri jalanan

mata mereka merah terlalu letih
nafas berombak berat di dada yang bidang

namun,
di celah kelopak mata yang redup itu - ada cahaya
cahaya yang menerangi umat lain ( juga umat yang mencaci)
bersama nafas berat yang dihirup itu - ada bahagia
bahagia yang membahagiakan jiwa yang bersama

bahagia inilah yang tidak mampu ditukar dengan emas meski sebenar bukit uhud
bahagia inilah jua tidak mampu dirampas oleh cemuhan dan makian manusia yang memaki
dan aku yakin, bahagia inilah yang menguatkan kaki-kaki mereka untuk terus menapak teguh!

-kelak mereka pasti lebih bahagia saat bertemu dengan Tuhan.
(kita bagaimana?)

~ belajar memahami kehidupan
junaidiahmad
10 Nov 2011
Bumi Wakafan MADI

Satu Muhasabah

Best Blog Tips 5:01 PM 1 Comments

Bismilah walhamdulillah.

Angin petang itu amat damai. Menyapa lembut. Dedaun kering jatuh ke tanah tanpa sebarang bunyi. Awan berliuk-liuk dilangit biru menampakkan lagi indahnya ciptaan Allah.

Di atas pelankin kayu aku duduk bersama sang ayah. Wajahnya tenang. Setenang bayu pagi.

Sambil menghirup jus tembikai kami bersembang dan bermesra. Bukan sentiasa begini. Sang ayah amat jarang dirumah. Sentiasa sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah. Urusan ummah.

Kami membicarakan pelbagai tajuk dan agenda. Amat menarik bila jiwa remajaku diselubungi pengalaman-pengalaman sang ayah dalam kancah dakwah. Perit dan manis yang sang ayah tuturkan membuat aku seolah-olah turut sama berada disituasinya.

Ketika kusyuk aku memasang telinga menadah motivasi dari sang ayah tiba-tiba seorang lelaki dari jauh datang ke arah kami.

Ku lihat wajah lelaki itu sugul. Sedih dan seolah tidak bermaya.

Seusai memberi salam kepada kami lelaki tersebut terus menangis dan memeluk sang ayah. Aku hairan.

Mengapa begitu?

Sang ayah tenang. Mungkin sudah dapat membaca suasana. Sudah pasti. Pengalaman tua sang ayah yang mengajarnya mengerti semua tentang kehidupan. Termasuk perihal mad’u.

Sang ayah mengusap lembut rambut lelaki tersebut. Dengan wajah yang tenang sang ayah bertanya.

“Mengapa akhi? Apakah yang menimpa kau sehingga kau jadi begini?”

Tangisan makin reda. Pelukan makin terlerai. Dengan mata yang berkaca sang lelaki memandang wajah tenang sang ayah. Mulutnya cuba untuk menuturkan bait dan kata.

“Abi..jiwa ana resah dan gelisah kala ini. Hati ana sering luka. Ana merasakan hidup ana sangat terganggu. Masalah pula tidak putus datang dan terus menimpa. Aktiviti jamaah tidak menenangkan jiwa ana. Terkadang ana merasakan ana hendak meninggalkan jalan ini. Tetapi ana sayangkannya. Ana tidak mahu menjadi manusia yang lari dari hidayahNya. Akademik menjadi bebanan dan sering jua ana merasakan kecewa dengannya.”

“Abi..bagaimana sekarang? Apa yang perlu ana lakukan? Ana….”

Tidak sempat menghabiskan katanya sang lelaki kembali menangis. Aku melihat air matanya pantas meluncur dipipi.

Sang ayah kembali mengusap rambut sang lelaki. Memujuk.

Sang ayah menjawab.

"Abi tidak melihat ini suatu masalah lain melainkan ia berpunca dari diri kita sendiri."

Pabila enta mengelarkan diri neta dai’e ilallah apa persiapan nta?

Bagaimana tahajjud enta setiap malam?

Sang lelaki terpinga diajukan soalan sebegitu.

Berapa masa yang enta sediakan untuk menghadap Allah Ta'ala di waktu qiyamnya setiap malam?

Apakah seorang da'ie mujahid akan dialpai oleh Allah Azz wa Jalla bila di saat orang tidur sang dai'e merintih, merayu, mengadu padaNya? Tidak. Tidak mungkin.

Bagaimana aurad quran enta? Al Waqi'ah..Al Mulk..Yaa Sin.. dan lain-lain. Semuanya surah-surah yang amat berkuasa membina kekuatan ruh. Kekuatan iman. Kekuatan keyakinan. Menghapuskan kotoran-kotoran dosa. Menambahkan bekalan pahala yang mampu menaikkan darjah ketenangan dalam hati para dai'e ila Rabbil Jalil.

Bagaimana pula solat enta? Yang mengandungi sentuhan-sentuhan ruhi, unsur-unsur ta'abudan, tasliman, takhasyua'an, tabazzulan, takhaddu'an, dan tamalluqan. yang sayugia membina jiwa hamba dalam diri para da'ie mujahid.

Sering kali seseorang itu tidak menemui hatinya di dalam solat, sehingga solatnya tidak ada ruh yang dapat menghidupkan jiwanya.

Bagaimana wirid dan zikirnya, yang sepatutnya menghidupkan hati. Menyalakan ingatan, kerinduan serta keasyikan kepada Allah Rabbul Jalil. Membuahkan kemulian, menumbuhkan sifat-sifat mahmudah dan menggilap dari noda dosa.

Abi sukar mempercayai, seorang da'ie yang istiqamah dengan wasilah-wasilah tarbawi akan resah jiwanya,tertekan hidupnya.

Muhasabahkanlah kembali hati enta. Laraskan kembali iman enta.

Yakinlah, bila enta beristiqamah dengannya, insyaallah nusrah Allah pasti berbondong-bondong datang. Dari segenap pelusuk. Dari semua arah. Tanpa disangka-sangka.

Aku mendengar dengan teliti setiap bait kata sang ayah. Bagiku ia juga nasihat untukku. Ya, nasihat yang amat berguna saat iman aku goyah.

Sebaik sahaja sang ayah seusai menutur bicara, sang lelaki terus memeluk sang ayah. Makin kuat tangisannya. Lama mereka berdakap. Sang lelaki membisikkan sesuatu pada sang ayah. Terlalu perlahan. Aku tidak mendengarnya. Akhirnya tangisan sang lelaki reda. Reda dalam dakapan sang ayah.

Aku melihat wajah sang lelaki agak berbeza. Seolah sudah mendapat sesuatu yang diingini, senyuman kecil terlukir dibibir. Tanda puas. Walau mata masih berkaca. Tenang kembali.

Sang lelaki meminta izin mengundur diri. Aku menyalaminya dengan sopan sambil menghadiahkan senyuman dan doa bersama. Moga sang lelaki ini mendapat ketenangan walau dalam keperitan dan mendapat kemanisan perjuangan walau dicaci oleh manusia yang mencaci.

Moga aku jua begitu.


9 Mei 2011
Kangar,Perlis

warkah untukmu

Best Blog Tips 1:47 AM 6 Comments

Bismillah walhamdulillah.

Dengarkanlah. Dengarkanlah suara hatiku ini.

Bukanlah niatku untuk mencari perang atau meminta simpati. Cuma aku terlalu bimbang melihat keaadaanmu dewasa ini. Saban hari bertambah parah. Sayu hati.

Hati manakah yang tidak sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini jua memiliki kakak dan adik yang sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ( perintah ) Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)

Pakaian adalah lambang keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah yang mendorong engkau masih memakai pakaian ahli maksiat?? Kelak kerna pakaian itu kau dihumban ke neraka!

Aku tahu, jauh disudut hatimu ingin benar kau menjadi muslimah yang solehah. Ia tersemat kukuh. Kerna itulah fitrah. Fitrah yang suci. Fitrah yang indah.

Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)

Sungguh indah fitrah itu. Madu iman meyelaputinya.

Kembalilah kepada fitrah Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi ia hanya kepada yang benar-benar inginkannya. Aku tahu, untuk kembali kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku keperitan. Benarlah kata nabi

Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan, dan surga itu dikelilingi oleh kesukaran.” (HR Bukhari dan Muslim)

Namun tiada alasan untuk kita tidak kembali membersihkan segala noda dan titik hitam dalam hati andai kita benar-benar inginkan. Hendak seribu daya.

Terkadang aku pelik. Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu. Namun jelek dan pelik bila engkau pakaikan baju yang berlengan pendek. Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan pada badanmu. Bila ditanya, inilah fesyen terkini kata kau. Namun aku cabar jawapan ini kau berikan pada Tuhan ketika kau dihisap kelak! Berani?

Mengertilah. Aurat itu bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada seluruh semua anggotamu kecuali tapak tangan dan mukamu. Aku yakin kau sudah tahu cuma tidak mahu mengerti. Mengapa begini?? Bukankah kau ingin kembali kepada fitrah?

"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur: 31)

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)

Terkadang aku terdengar kau merungut. Merungut kerana auratmu terlalu berat berbanding aurat lelaki bagimu. Usah begitu. Sebaliknya kau harus berbangga kerana engkau adalah ibarat permata yang tidak ternilai harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa calar.

Apakah kau tidak melihat wanita barat yang hilang ketamadunan dan maruah serta malu angkara tidak di jaga oleh agama mereka. Mereka umpama batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh dikutip dan dibuang sesuka hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.

Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Aku menyeru dengan seruan sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu, marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian ahli maksiat dan pakaikan pakaian solehah.

Moga Allah memberi kekuatan untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah denganNya, pasti kekuatan itu timbul tanpa dipinta. Aku menyeru dan menasihati diriku terlebih dahulu.

Buatlah pilihan tekad. Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang lain mengikutimu. Walau pada awal mereka kelihatan menentang atau tidak suka perubahanmu namun hatinya juga seperti hatimu. Ingin jua menjadi muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.

Ayuh, tanggalkan segala pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian fitrah. Pakaian ahli syurga. Tutuplah auratmu. Rapatlah denganNya. Bahagia pasti milikmu.

1 Mei 2011
Kangar, Perlis

cinta palsu

Best Blog Tips 9:50 PM 0 Comments

bagiku segala cinta adalah palsu. benar. palsu semuanya.

"akhi, bagaimana cintakan Allah? apakah ia juga palsu maksudmu?"

ya, palsu. tapi bukan hakikat cinta Ilahi itu yang palsu, yang menjadinya palsu adalah pengungkapnya.

aduh. betapa ramai, bahkan semua manusia yang aku jumpai, lidah mereka mengungkap cinta pada Allah. Rindu pada Allah. tapi hakikatnya mereka menipu!

apakah tidak dikira menipu anda hanya lidah yang mengungkap sedangkan anggotanya menafikan dengan bermaksiat pada Allah? aduhai..

betapa zalimnya manusia. betapa hipokritnya kita. mengungkap cinta kepadaNya demi menarik cinta manusia yang menjauhkan dariNya.

aku secara peribadi tertarik dengan ungkapan ustaz hasrizal berkenaan cinta.

"cinta kepada Allah akan menghampirkan kita pada makhlukNya, begitu juga cintakan makhlukNya akan membawa penghampiran kepada Allah."

setuju aku akan klise ni. inilah cinta yang benar-benar suci. mencintai Allah pada hakikat yang benar. mencintai manusia pada hakikat yang betul.

cinta manusia dan cinta Allah itu tidak pernah bertindih.

aku seru disini terutama untuk diriku sendiri dan sahabat, muhasabahkanlah cinta kita.

apakah ia cinta palsu atau cinta suci?

29 April 2011
Kangar, Perlis

Perkongsian : dilahirkan untuk orang lain

Best Blog Tips 9:25 PM 0 Comments

Bismillah walhamdulillah.

Semalam aku hadir dalam kuliah bulanan Ustaz Lutfi Arifin.

Beliau mensyarahkan kitab Riyadus Solihin. Alhamdulillah, aku terkesan dengan penyampaian malam itu. dengan membacakan hadis tentang sabar dalam berjuang, beliau dengan penjang lebar menghuraikannya penuh arif. Allahuakbar.

Aku juga tertarik dengan salah satu untaian bicaranya.

"Orang beriman dilahirkan bukan untuk dirinya tetapi untuk manusia lain."

Allahurabbi, betapa aku menyedari betapa kerdilnya aku untuk mencapai status orang beriman tersebut.

Orang beriman lahir atas kepentingan manusia marhaen lain bukan atas kepentingan dia. Mereka berjuang tanpa ada sedikit rasa hati mereka ingin mengaut keuntungan!

Jiwa mereka benar-benar tulus berjuang. Tiada lumpur riak dan cacat amalan mereka dengan tujuan yang batil.

Jiwa kerdilku berkata, aku mesti menjadi golongan itu!

29 April 2011
Kangar, Perlis