Memelihara Ketulenan Perjuangan

Best Blog Tips 4:08 PM

Bismillah.

Sewaktu aku membelek nota-nota haraki diblog pimpinan aku tertarik dengan artikel yang ditulis Al Fadhil Ust Nasaruddin (Ketua Pemuda Pas).

Nota ini beliau tulis pada 20 Februari 2009. Ia sangat kena pada situasi dan keadaan sekarang.

Inilah penjelasan yang ingin aku sampaikan tetapi ceteknya ilmu aku menyebabkan ia terhad.Alhamdulillah, al fadhil ustaz telah menerangkannya dengan jelas pada 2009 lagi.

Ikhwah dan akhwat yang aku kasihi, marilah sama-sama kita hadami kupasan ringkas ini dengan faham. Moga Allah menempatkan kita pada fikrah yang benar.

**

Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi.

Sebaliknya penglibatan [intima'] kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam.

Apa yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam.

Inilah cita - cita murni yang sekali - kali tidak boleh kita benarkan ianya dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh aqal yang terpisah dari wahyu . Justeru cita - cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah as samawi.

Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur aduk dengan desahan nafsu yang memburu ruang untuk menyerlah populariti dan publisiti malah membina indentiti diri tanpa memperduli ketulenan manhaj rabbani.

Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatas namakan perjuangan Islam ini. Persoalannya, berbaloikah perjudian itu ?

Siang malam bergelut menghadapi ancaman. Saban waktu pula meredah rintangan. Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri, hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri.

Ketulenan Perjuangan

Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam. Laksana pengembaraan Nabi saw bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah. Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah. Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar. Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah .

Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita - cita politik . Mencari pengaruh , jawatan dan gelaran . Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi .

Ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya . Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad saw atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skima amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul saw. dan diperkemas kini oleh ulama' al a'milin al mujahidin yang memimpin ummah .

Satu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi . Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami.

Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali - kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik.

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka . Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik.


Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkin ianya di beli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam.

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata - mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah , bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli , bagaimana kita beraksi di medan dakwah , bagaimana kita mendepani musuh , bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya .

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura , dengar dan taat , thiqah , istiqamah , wala' , ukhuwwah , ikhlas dan lainnya mewarnai diri , sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang .

Kita adalah Sebuah Gerakan Islam . Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau dimana posisinya . Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini , kita tidak boleh mencairkan nilai atau standard value bagi sebuah gerakan Islam .

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi saya tegaskan sekali lagi , ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara . Jangan kita abaikan ketulenannya semata - mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang.

Ingat ! menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah . Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini .Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah !

**

Moga kalian memahami.

al faqir ilallah.
20 Safar 1433
bumi wakafan MADI

0 Catitan sahabat: