Sebuah kemenangan

Best Blog Tips 6:35 AM 2 Comments


Di sebalik kegembiraan menyambut Eidulfitri, terselit kedukaan ditinggalkan Ramadhan...

Salam Eidulfitri kepada semua sahabat.

Al Quran dan amal kebajikan jangan dikurangkan.

Junaidiahmad
~setenang rasa
30 Ogos 2011
Kuala Terengganu



Buat jiwa yang menulis

Best Blog Tips 11:03 AM 5 Comments


Berkata seorang ulama, Syeikh Syamsuddin Al-Bahibli 

“Janganlah seseorang itu menulis kecuali untuk merealisasikan tujuh tujuan.”
1. menulis mengenai sesuatu perkara yang belum pernah ditulis orang
2. untuk menyempurnakan sesuatu yang masih kurang dan belum sempurna
3. untuk menjelaskan sesuatu yang sukar difahami
4. untuk meringkas yang panjang tanpa mengabaikan faktor-faktor yang penting
5. untuk menampilkan sesuatu yang sebelumnya tidak teratur
6. untuk membetulkan kesilapan
7. mencantumkan sesuatu yang sebelumnya bercerai-berai. 

Dan Rasulullah SAW pernah mengingatkan 

“kebanyakan dosa anak Adam adalah dari lidahnya. Sesungguhnya seseorang itu apabila berkata tanpa usul periksa ia terjun bersama-sama perkataan itu ke neraka yang ukuran dalamnya lebih jauh dari jarak timur dan barat”. 

Maka berhati hatilah wahai jiwa yang menulis. Penamu adalah lidahmu. Ia mampu mengaut pahala dan ia juga mampu menimpakan dosa padamu. 

Musahabah untuk diriku yang faqir. 

~penulis jalanan
15 Ogos 2011
Perpustakaan Universiti,KWSP

Hijrah ini

Best Blog Tips 11:39 AM 1 Comments


Hijrah diri itu sukar. Terlalu sukar. 

Meski dicuba berulang-ulang tetapi pasti kecundang tanpa jiwa yang cekal dan sabar. 

Syaitan dan nafsu memerangi jiwa hingga luka parah agar kembali ke dalam kandang kejahilan dan kemaksiatan yang memerangkap. Terkadang dipandang pelik dan jelik oleh manusia berhati dungu dengan perubahan diri ini. tidak kurang ia dikeji dan dihina. Hatinya di goda berulangkali oleh wangian jahiliah yang menipu. 

Fasa penghijrahan jiwa ini meski nampak tenang diluar, namun gelombang didalam sanubari berombak ganas dan dirobek oleh perlbagai perasaan hingga sukar untuk dijahit semula. 

Di sana ada dua sendi kekuatan untuk memenangi pertarungan ini seperti yang dikhabarkan oleh Almarhum Ustaz Fathi Yakan, iaitu HATI dan AKAL. 

Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup, lembut, bersih, cekal dan selalu mengingati pesanan Sayidina Ali yang berbunyi: 

"Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati- hati.. maka hati yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah hati yang lembut, bersih dan cekal."

Kemudian Sayidina Ali mentafsirkan (kalimah kalimah tersebut dengan) katanya: 

Cekal dalam pegangan agama, bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mukmin. 

Akal pula adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu itu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan Allah, mengetahui keagungan Allah serta kekuatannya. 

Sabda Rasulullah, 

"Tidaklah beruntung seorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan dengan kelebihan kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk dan menahannya dari perkara yang buruk". (Hadis riwayat Al- Mujbir) 

Lalu, marilah wahai diri kita bersihkan daki noda di hati dan pertajamkan akal kurniaanNya ini. 

Moga hijrah ini benar-benar memberi erti. 

p/s : Selalu manusia menunggu masa/peristiwa untuk berubah (spt tahun baru, atau lain2), lalu sebenarnya hijrah itu menjadi khayalan yang terawan-awan tanpa mencapai kejayaan. Ayuh,hijrahlah diri sekarang! Ramadhan adalah medan yang paling sesuai. 

~tetamu Ramadhan 
14 Ogos 2011 
Perpustakaan Universiti, KWSP

Si malam pujaan

Best Blog Tips 2:04 PM 0 Comments



Malam itu dinanti. 

Malam itu benar-benar dinanti oleh jejaka, gadis bahkan seluruh umat Islam. Hari ini sudah memasuki fasa kedua Ramadhan, tetapi amalanku masih tidak memuaskan. Aduhai, harus ditingkatkan lagi!

Malam itu diintai dan diburu oleh manusia-manusia yang lapar akan rahmatNya. Betapa 'kenyang' pada siapa yang dapat memburunya.

Sabda Nabi yang mulia,

"Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. " (HR. Al-Bukhari, Muslim dan lainnya).

Hendak memburu manakan boleh tanpa kelengkapan. Malah perlu dibiasakan dengan 'pemburuan' itu, agar benar-benar mahir dalam selok belok pemburuan. Jika tidak, 'tangkapan' pasti terlepas. Sungguh malang jika begitu. Sepuluh hari lagi, bermakna sepuluh malam terakhir yang diungkapkan Rasulullah akan tiba. Apakah waktu itu baru nak mengasah tombak, menjahit jaring dan persiapkan bekalan? Terlambat!!

Firman Allah, 

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur'an) pada Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehinggalah terbitnya fajar. "(Al-Qadr: 1-5)

Allah....betapa bahagianya si pemburu yang berjaya memburunya. betapa riangkan ruh mereka. betapa damainya hati mereka.
Allah...izinkanlah aku untuk 'melapah' malam itu seenaknya.

"Ya Allah, berkatilah kami dibulan Ramadhan dan sampaikanlah kami pada Lailatul Qadr."

tetamu Ramadhan
11 Ogos 2011
bumi wakafan MADI