Showing posts with label diari. Show all posts
Showing posts with label diari. Show all posts

Untukmu Mesir

Best Blog Tips 10:07 AM 0 Comments


Untukmu Mesir

Hari ini langit menjadi saksi
Pada kedurjanaan manusia yang tiada punyai hati
Lantai bumi hangat dengan darah merah mengalir tiada henti
Nil menangis lagi

Tangisan, air mata, rintihan, jeritan adalah irama Rabaah
Betapa mereka mengotakan janji dalam penyaksian- Allah, matlamat kami!!
Keluar mereka di jalanan bukan meminta simpati
Jua bukan sesekali untuk menyerah diri
Bahkan mereka membenarkan baiah mereka - syahid,cita-cita tertinggi kami!!

Peluru-peluru buta menghujani mereka
Dan ribuan jasad menyembah bumi-tersenyum disunting bidadari syurga.
Tidak sesekali mereka berganjak dari tapak-tapak Islam
Tidak sesekali mereka gentar dengan ancaman syaitan manusia
Tidak!!

Alangkah dajal sedang meniti hari kedatangannya
Menghamparkan syurga dan neraka untuk seluruh umat
Syurga itu neraka, dan nereka itu syurga!
Dunia Islam membisu sejuta bahasa
Bertambah celaka dan bangsat apabila mereka mendokong pertumpahan darah ini

Maafkan daku wahai bumi kinanah
Bumiku Malaysia meraikan darah ini dengan Konsert Metallica.
Aku malu. Aku terasa terhina sebagai seorang Muslim,diperlakukan begini.
Dan aku tidak redha dengan mereka. Saksikanlah, aku bersamamu!

Dan dari kejauhan dengan linangan air mata ku titipkan doa ini untukmu.

"Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung denganMU dari kejahatan mereka.
Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka!
Kacau-bilaukan persatuan mereka!
Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka!
Hantarkan ke atas mereka anjing-anjing Kamu!
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Menyiksa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.
Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, wahai Tuhan yang menggerakkan awanan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami ke atas mereka…"

Semoga kalian terus kuat dan tegar wahai saudaraku.
Nil akan kembali dibersihkan!

faqir ilallah
junaidi ahmad

Mengukir harapan

Best Blog Tips 2:03 PM 0 Comments

semua itu khayalan!
disentuh hanya dalam mimpi
dan ia menipu

aku ingin mendiri jasad
disentuh jemari dirasa ummah
dan ia memberi

meski dihujung usia,
tiada pernah ia katakan,
"kau sudah terlambat."
tidak!!

junaidiahmad

Pesanan Kembara

Best Blog Tips 6:33 PM 0 Comments



Maka ketika aku ingin memulakan pengembaraan aku kembali, Sang Guru meletakkan tangannya yang mulia diatas bahuku dan memberi pesan,

“Anakku, perjalanan pengembaraan ini umpama perjalananan kita di atas dunia fana ini. Hendaklah engkau selalu mengawasi diri dalam setiap perbuatanmu. Dan hendaklah engkau sedar bahawa Allah selalu dekat denganmu.”

Mata Sang Guru redup membuatkan begitu senang memandangnya. Wajahnya bercahaya dengan cahaya wuduk yang tidak pernah hilang dari tubuhnya.Tenang jiwaku menatapnya.

“Inilah pesananku, maka berpesanlah jua pada manusia lain, sesungguhnya Allah Swt itu sangat menyukai hambaNya yang saling memberi pesan.”

“Anakku, Dia selalu mengetahui dan mengawasi segala perbuatanmu. BagiNya tidak ada sesuatu yang rahsia dan samar. Makhluk sekecil apapun yang ada dibumi dan langit tidakakan pernah lepas dari pengawasanNya.”

“Ingatlah bahawa Dia sentiasa mengetahui apa yang engkau bicarakan, baik engkau bersuara keras mahupun sir (rahsia). Di manasahajaengkauberasa, Diabersamamu, danDialah yang MahaKuasa.”

“Petunjuk, pertolongan dan penjagaanNya hanya tercurah kepadamu jika engkau tergolong orang-orang yang berbuat baik.”

Setiap bait-bait pesanan sang guru berpintal bersama desiran angin pagi yang sangat aman, menari nari didalam telingaku.

Sang guru perpesan lagi,

“Hendaklah engkau malu kepadaNya. Kerjakanlah perintah-perintahNya dan jauhilah larangan-laranganNya serta beribadahlah kepadaNya seakan-akan engkau melihatNya. Dan apabila engkau tidak melihatNya, ketahuilah bahawa Dia selalu melihatmu.”

“Dan jika di dalam hatimu timbul rasa malas pada ketaatan dan cenderung untuk mengerjakan kemaksiatan, katakan pada nafsumu!

“hai nafsu! Sesungguhnya Allah selalu mendengarmu, melihatmu dan mengetahui segala rahsia dan bisikanmu.”

Jika ia belum dapat menuruti nasihatmu kerana kurangnya dalam memahami keagungan Allah, maka peringatkanlah kepadanya akan dua malaikat yang selalu mencatat kebajikan dan kejahatan, iaitu Raqib dan Atid. Dan bacakan firman Allah;

“ Ketika dua malaikat yang mencatat amal duduk disebelah kanan dan disebelah kiri. Tidaklah perkataan yang dikeluarkan seorang melainkan disisinya ada malaikat Raqib dan Atid.” (Qaaf : 17-18)

“Jika nasihat tersebut tetap tidak dapat menghentikan tindakannya, berikanlah ia pengertian tentang kematian yang sudah semakin dekat. Dan kematian adalah satu rahsia yang dinantikan kedatangannya." 

“Apabila ajal telah menjemputnya sedangkan ia sentiasa mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah maka hanya penyesalan tiada habis yang ia peroleh.”

“Bila ia masih degil dan tidak menghiraukan nasihat itu, maka ingatkan ia sekali lagi tentang pahala besar yang dijanjikan oleh Allah, bagi mereka yang taat kepadNya. Dan kemudian katakanlah kepada nafsu :

“Hai nafsu! Tiada lagi kesempatan untuk bertaubat setelah kematian. Dan tiada lagi tempat setelah dunia ini, kecuali syurga dan neraka. Pilihlah mana yang engkau suka! Jika taat kepada Allah, maka kebahagiaan , keredhaan dan kekekalan di dalam syurga yang luaslah yang engkau terima, bahkan engkau pun akan peroleh nikmat yang terbesar yakni melihatNya. Jika engkau bermaksiat, tentu kehinaan, murka dan seksa nerakalah yang pasti engkau terima!”

“Sungguh wahai anakku, nasihat ini pasti membawa manfaat bagi kehidupanmu, didunia dan akhirat. Kembaralah dengan jiwa hamba, pasti kembaramu adalah kembara ke syurga!”

Aku memeluk erat tubuh Sang Guru dengan linangan air mata.Perit sekali saat ini. Berpisah dengan Sang Guru  membuatku terasa aku kehilangan segalanya didunia ini. Namun kukuatkan hati untuk melangkah kembara, kerna disana aku memerlukan sebuah jawapan. Jawapan tentang sesuatu yang aku cari selama ini.

“Aku pasti kembali!” Getus hatiku sambil meninggalkan Sang Guru yang semakin jauh dan kabur dari retina mataku. Akhir, wajahnya hilang ditenggelam kabus pagi yang tebal..

travelog iman

Best Blog Tips 11:12 PM 0 Comments

jaga hatimu ya akhi.

bagaimana?
jaga lidahmu dari sebar dan suburkan fitnah, jangan berdusta.
jaga matamu dari pandangan maksiat dan liar.
jaga perutmu dari yang haram dan syubhah.

bagaimana nak menjaga semua ni?

dengan ihsan. rasakan bahawa Allah sedang memerhatikan kamu 24jam ya akhi.

banyakkan zikir, selawat, quran dan doa.
banyakkan jua membaca buku ilmiah.

Allahumma solli 'ala Muhammad.

-Kuala Terengganu

tentang cinta IV

Best Blog Tips 8:03 PM 0 Comments

cinta
bukan untuk dilafazkan
sebaliknya untuk dibuktikan.

Allahumma solli 'ala Muhammad.

Terus memberi

Best Blog Tips 12:50 PM 0 Comments



Bismillah.

Dalam keghairahan untuk memberi, aku rasakan tidak cukup hanya pada penulisan apatah lagi yang menulis itu adalah aku ; cetek ilmu dan tidak pandai mengolah. Justeru, aku sediakan satu lagi tempat untuk aku berkongsi yakni melalui perkongsian video tazkirah.

Klik disini.

Video adalah lebih berkesan. Ini diakui lebih-lebih lagi pada zaman dunia tanpa sempadan sekarang.

Berbeza dengan penulisan yang menyampaikan rasa dalam satu dimensi sahaja, video mampu menyampaikannya lebih dari itu. Segala yang diucap terus menusuk ke telinga, gimik dan mimik boleh dilihat terus dan inilah yang menjadikan video itu lebih berkesan.

Aku tidak reti dan pakar dalam video maker mahupun video editting. Namun, ia bukanlah alasan bagiku untuk terus memberi perkongsian ini.

Aku kumpulkan beberapa kuliah,tausiyah,zikir dan sebagainya yang mampu menyuburkan iman yang layu dan menghidupkan hati yang mati ; yang aku upload tanpa mengunakan proksi lain seperti Youtube atau sebagainya - kerna aku tahu, ramai adik-adik dikampus yang tidak dapat access kepada proksi-proksi ini (disekat oleh pihak ICT Universiti), maka insyaAllah manfaatnya dapat dioptimunkan serta meluas. InsyaAllah.

Aku berlindung dari syaitan yang direjam serta sifatnya yang takbur, sombong dan sebagainya dalam segala perkongsian ini. Mudah-mudahan, usaha yang teramat kecil ini menyuburkan lagi medan dakwah yang kian semarak akhir-akhir ini.

Terakhir, aku mohon doa dari kalian. Mohon sangat-sangat. Aku mohon kalian doakan aku dapat bertemu dengan Rasulillah SAW yang amat aku rindu tidak kira semasa aku masih bernyawa mahupun sesudah menjadi mayat. Doa kalian, manusia yang soleh semestinya mudah dimakbulkan berbanding doaku yang lalai ini.

Allahumma solli 'ala Muhammad.


faqir ilallah
Rabiul Akhir 1433H
bumi wakafan MADI

Untitled VI

Best Blog Tips 10:03 AM 0 Comments



setelah bulan membelah matahari,
dan matahari kembali bertangkup
setelah malam melimpah cahaya,
dan cahaya membentuk ruang
setelah angin menukar rasa,
dan rasa menjadi cinta

urat-urat tua tegang merukuk pada Tuhan
tulang temulang merebut pada sujud
arteri berdenyut kencang mengepam kata syukur
dan daktil pula ghairah membilang zikir

oh alangkah bahagia jika mereka bersatu pada jasadku.

faqir ilallah
Taman Kemajuan
Rabiul Akhir 1433H

Jalan pintas menuju kebahagiaan

Best Blog Tips 4:20 PM 0 Comments

Bismillah.

Bercakap soal bahagia lagi, aku membelek beberapa buku dan artikel yang berdiskusi tentang bahagia. Antaranya Tasauf Moden karya Pak Hamka. Panjang huraiannya.

Namun, ketika hadir sebuah majlis ilmu aku tertarik dengan satu hadis, yang aku kira ia adalah rumusan tentang definisi bahagia yang aku cari.

Hadis tersebut bercerita tentang kemanisan iman. Bagiku, tiada kebahagiaan yang lebih besar melainkan ketika mana hati ini diberi merasai kemanisan iman. MasyaAllah..sangat bahagia.

3 perkara yang membuahkan buah iman yang manis disantap oleh hati ini

Pertama, bersyukur apabila diberi nikmat.

Kedua, bersabar apabila ditimpa musibah

Ketiga, segera bertaubat apabila melakukan maksiat.

Inilah jalan pintas untuk mencapai kebahagiaan di dunia ini mahupun di akhirat. Sekiranya ketiga-tiga ini berkumpul didalam hati seseorang hambaNya, hambaNya itu pasti seorang yang sangat bahagia.

Tapi ya sahabat, walau ia jalan pintas, ia tetap sukar untuk melaluinya. Halangan dan duri tetap menunggu.Itulah lumrahnya. Mana seronok memburu jikalau tiada onak dan duri.

Moga aku yang dhaif ini peroleh bahagia yang ku cari ini.

“Ya Allah, anugerahkan aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orangtuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”

faqir ilallah
Taman Kemajuan
29 Safar 2012

bahagia

Best Blog Tips 3:40 PM 2 Comments

Bismillah.

Aku menziarahi satu demi persatu blog sahabat.

Aku membelek satu demi satu gambar sahabat.

Aku mengimbau satu demi satu peristiwa bersama sahabat. Suka dan duka.

Aku terseyum sendirian. Air mata mengalir. Rindu menebal. Sakit.

Namun, sakit inilah yang membuat aku bahagia.

Jujur, separuh kebahagiaan yang aku rasa dalam jiwaku adalah kernamu ya sahabat!

Aku rindu kalian!!

Indahnya ukhwah ini. Aku mohon sangat-sangat agar kita dipertemukan di syurga kelak.

Tiada ungkapan yang mampu mengambarkan saatku ni. Terima kasih sebab menjadi sebahagian dariku. Aku sangat menyayangi kalian.

"Orang Mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya" (Riwayat Abu Daud

Khas buat sahabat QG & H


~sahabat kalian
Taman Kemajuan
28 safar 2012

Top 5 Pilihan Saya

Best Blog Tips 3:36 PM 0 Comments

Ini adalah 5 blog/web yang menjadi pilihan saya untuk dibuka setiap hari. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

1.Tanzil.net
Kategori : Islam, Info


Review : Web ini menyediakan penggunaan Al Quran secara maksima. Berbanding web Al Quran lain (seperti Alquran flash, The Holy Quran dan lain2) Tanzil.net lebih menyediakan pakej yang lebih lengkap. Terjemaahnya dalam pelbagai bahasa, boleh mendengar bacaan dari pelbagai Qari, dan mudah untuk mencari surah dan ayat yang kita mahukan. Bagi saya, ia amat sesuai untuk mereka yang sedang belajar Al Quran kerana mampu mendengar ayat yang kurang diyakini akan sebutannya.

2.Palestinkini
Kategori : Islam, Portal Berita

Review : Berita dan info-info dari negara saudara kita, Palestin. Disini mengajar kita supaya lebih cakna akan perkembangan mereka.

3.Merah Tinta MSO
Kategori :Politik

Review : Mohd Sayuti Omar adalah penganalisa politik yang tajam. Berbanding blogger-blogger lain yang lebih suka mengambil side menghentam lawan dan terkadang hingga menfitnah, MSO lebih suka menghuraikan dengan hujah dan pengalaman. Sindiran yang diberikan tidaklah keterlaluan berbanding celaan dan makian pemerhati politik lain.

4.Malaysiakini
Kategori : Portal Berita

Portal berita yang agak neutral. Meskipun ia dipercayai milik pembangkang, namun berita yang disiarkan tidak condong kepada mana-mana pihak berbanding Utusan mahupun Harakah.

5.Saiful Islam.com
Kategori : Blog Islamik


Review : Travelog Ustaz Hasrizal yang diolah dengan baik dan mampu dijadikan pedoman bagi pembacanya. Segala artikel yang disiarkan meskipun berkaitan dirinya sendiri, namun Ustaz Hasrizal berjaya membawanya menyerapi ke realiti kehidupan manusia lain tidak kira pembacanya itu mahasiswa,ibu bapa , pendidik dan sebagainya.

Masih banyak blog/web yang sangat sesuai dan berinformasi untuk diziarahi, namun tiadalah niat saya untuk menyenaraikan semuanya. Cukuplah 5 ini. Moga ada manfaatnya.

faqir ilallah
26 Safar 1433H
bumi Wakafan MADI

Sarapan hari ini

Best Blog Tips 5:30 AM 0 Comments

Bismillah.

Santapan untuk pagi ini. Moga rohani kalian kenyang. Hadam baik-baik.

‎"Panglima ulung umat Islam, Salahuddin Al-Ayyubi cuma meninggalkan solat berjemaah sebanyak tiga kali sahaja sepanjang hidupnya menurut satu riwayat. Itu pun semasa beliau sedang sakit dan ketika nazak. Ketika itu, beliau bangun untuk menyertai solat berjemaah, namun beliau tiba-tiba terjatuh dan pengsan. Selepas tersedar & dipangku oleh beberapa orang yang berada di sekeliling, semasa itu para jemaah sudah pun selesai bersolat, ucapan pertama yang keluar dari mulut beliau ialah "Masih lagikah mereka (jemaah) sedang bersolat? Alangkah ruginya aku tidak dapat bersama bersolat dengan mereka"

-Ustaz Zahazan Mohamad

al faqir ilallah
Taman Kemajuan
26 Safar 1433H

Ranting kecil dibakar dahulu

Best Blog Tips 5:19 AM 0 Comments

Bismillah.

Sahabatku,ada suatu kisah yang begitu masyhur.

Seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun bertanya,

"Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu,

"Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu,

"Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Si anak kecil itu menjawab,

"Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Terpana si lelaki tua tersebut mendengar jawapan itu lalu berkata sambil menangis,

"Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan aku nanti?"

**

Begitulah ya akhi, hati manusia yang sangat dekat kepada Tuhan. Jauh beza dengan hati kita.

Lagak sehari kita umpama ahli syurga yang sudah dijanjikan. Tiada ampunan diminta. Dosa-dosa dianggap debu ringan. Berjalan di atas bumi dengan angkuh,terlupa bahawa akhir nanti kita dimamah oleh bumi yang kita pijak ini!!

Di mana puncanya hati ini terlalu keras untuk menangisi diri??

Pabila ku renung dan tilik,puncanya dapatku simpulkan - diri menjauhi majlis ilmu, maka hati mati dan keras!

**

Hasan al-Basri pula berkata

Ada enam perkara mematikan hati :

1. Sengaja berbuat dosa karena ingat masih ada harapan untuk bertaubat.
2. Mengajarkan ilmu pengetahuan tetapi tidak mengamalkanya.
3. Buat amalan tapi tidak ikhlas.
4. Makan rezeki daripada Allah tetapi tidak mahu mensyukurinya.
5. Tidak pernah puas dengan pemberian Allah.
6. Mengebumikan Jenazah tetapi tidak pernah mengambil pelajaran dari peristiwa itu.

**

Doaku,

(Ya Allah, Dzat yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepadaMu)

Ameen.


al faqir ilallah
21 Safar 1433H
Taman Kemajuan

mereka juga diuji

Best Blog Tips 9:00 AM 3 Comments



ikhwah dan akhowat yang disayangi
betapa aku tahu getir dan sukar perjalanan ini
hingga air mata ini mengalir tanpa sedar menahannya
sakit..perit..celaru dan keliru..
tapi usahlah sesekali hati ini mengeluh walau sedikit
ingatlah sewaktu Khabbab Al Arat disiksa teruk
lalu berjumpa dengan sang nabi yang mulia dibawah bayangan Kaabah
"Ya Rasulullah, menangkanlah kami segera, bukankah doamu tiada hijab?"
lalu apa jawapan nabi ya akhi??

Sesungguhnya sebelum kamu terdapat lelaki yang telah digalikan lubang untuknya, ditanam, kemudian didatangkan dengan sebilah gergaji diletakkan diatas kepalanya dan menggergaji sehingga dipotong dua, mereka yang disikat dengan sikat besi – sehingga bercerai daging dan tulangnya, tetapi perkara tersebut tidak dapat menghalangnya daripada agamanya, sesungguhnya Allah akan menebus perkara ini sehingga manusia boleh berpergian dari dunia ke negeri maut tanpa rasa takut kecuali kepada Allah. tetapi kamu termasuk mereka yang tergesa-gesa.

nah!
bersabarlah wahai sahabat.
bersabarlah sepertimana keluarga Yassir
bersabarlah sepertimana Bilal Bin Rabah
di sana ada nikmat yang menghilangkan segala derita ini
redha Ilahi-itulah yang kita inginkan!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

25 Dis 2011
Taman Kemajuan.

Salam Maal Hijrah

Best Blog Tips 6:34 AM 0 Comments


Hijrah adalah amalan yang berterusan. Setiap hari di sisi Saiyyiduna Umar adalah hijrah. Setiap hari adalah ajakan untuk beranjak. Meninggalkan maksiat dan murka Allah dan terus menangga kepada kelebihan dan kemuliaan sebagai makhluq paling utama ciptaan Tuhan.- Al Fadhil Murabbi Ustaz Yussaini Yahya.

Salam Maal Hijrah. =)

~Menapak istiqamah
junaidiahmad
26 Nov 2011
Bumi Wakafan MADI

di dua persimpangan

Best Blog Tips 12:36 AM 0 Comments


bisa saja anak panah itu diluncur laju menuju satu sasaran
namun, mana mungkin ia tepat dua sasaran yang berlainan arah?
matanya satu akhi..


"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

Ameen Ya Rabb..

~di antara dua persimpangan
junaidiahmad
17 Nov 2011
Santan, Padang Besar

sesempurna kasihMU

Best Blog Tips 6:17 AM 1 Comments



usiaku meniti lagi
angka 23 bukan kemegahan
hanya sejuta kesyukuran
diri hina ini menyimpuh padaMu
dengan satu harapan dan doa

Ampunilah daku, berkatilah usiaku dan jauhilah daku dari azab nerakaMu.

~sepantas masa
junaidiahmad
17 Okt 2011
Bumi Wakafan MADI

doaku II

Best Blog Tips 4:21 PM 0 Comments

baru aku faham benar, sunnah jalan ini.

dahulu, aku hanya merasa pada akal melalui pengalaman manusia-manusia yang telah berjalan dan ada sesetengah dari mereka telah sampai di penghujung lalu bertemu dengan Kekasihnya dengan sekuntum senyuman yang menawan dan hati yang bahagia.

betapa lara pula jiwaku dahulu kerna tidak yakin lalu hanya bermain-main di pinggir jalan ini-tidak diberanikan diri untuk menjejakinya.

aku berterima kasih padaMu Tuhan, kerna Kau masih memilih diri hina ini meskipun bertimbun maksiat dan noda aku perbuat. dengan sedikit rasa amanah yang Kau campakkan ini aku mohon kau kuatkanlah kakiku untuk terus teguh dijalan ini.

meski kini, terlalu sukar dan dihimpit pelbagai masalah dan cabaran, aku yakin, inilah sunnah jalan ini yang diungkap oleh para pujangga, " jalan yang tidak dihampar permaidani merah."

Tuhan, biarlah aku kelemasan dalam pelbagai masalah umat dan dihimpit perit oleh masa dan waktu, asalkan itu menjadi taruhan aku meraih redhaMu.

berikanlah aku kekuatan untuk terus dan terus berjalan hingga dipenghujung, Ya Rabb..

faqir ilallah
~bumi wakafan MADI
20 Julai 2011


doaku

Best Blog Tips 7:20 PM 1 Comments


Ameen Ya rabb..


meniti hari
7 Julai 2011
Padang Besar,Perlis

kebangkitan

Best Blog Tips 11:50 AM 1 Comments

benar, mereka bangsawan- punyai segalanya kekayaan untuk dimiliki
benar, mereka pemerintah- punyai segala kekuasaan untuk digunapakai

mereka gunakan segala kekayaan membeli maruah pengikut
mereka gunakan segala kekuasaan menjerut leher rakyat

tetapi awas!
sampai bila rakyat akan membiarkan leher-leher mereka dijerut?
sampai bila mereka mampu membohongi rakyat?

akan tiba suatu masa
rakyat bangkit dan menjadi mimpi ngeri buat mereka
ya, akan tiba-bahkan hampir tiba!

wahai agamawan!
masihkan kalian cuba berdiam diri melihat agama suci ini dirogol bangsawan haprak??

wahai cendikiawan
masihkah kalian lena dalam falsafah kalian, sedangkan sistem pendidikan negara makin meracau gila?

wahai sasterawan
masihkan kalian petah menulis puisi indah,padahal bahasamu dirobek dan disumbat pada lubang najis??

wahai anak-anak watan!
masihkan kalian masih lemas dalam lautan hiburan yang maha dasyat ini, sedang watanmu inci demi inci diratah rakus pemerintah dajal?

bangkitlah wahai jiwa-jiwa yang lena
bangkitlah dari belengu syaitan berwajah manusia
bangkitlah demi bangsamu, watanmu, dan agamamu
bangkitlah!!

junaidiahmad
16 Jun 2011
Arau, Perlis

terindah

Best Blog Tips 1:28 PM 0 Comments

Ku langkahi perjuangan ini
dengan namaMu Ya Rabbi
meski ku tahu dibentangi duri
namun ku tetap sungguhi hati

berjalan atas jalan Rasul
tidak dihampar permaidani merah
tidak direnjis wangian mawar
hanyalah onak dan ranjau ditelusuri
dipandang asing itu biasa
kerna itu janji Nabi

Dibalik perit dan sakit meniti duri
terselit madu yang menyapa
manisnya sukar digambarkan
hanya hati yang beriman merasai
bersama sahabat seperjuangan
suka dan duka menjadi indah
bersama Allah Tuhan yang disembah.


kenangan indah
12 Jun 2011
Kangar, Perlis.