Jalan Menuju Ketaqwaan II

Best Blog Tips 9:22 AM 0 Comments

Ku sambung ringkasan tulisan Dr Abdullah Nasih Ulwan kembali.

4. Mu’aqabah (deraan)

Asasnya terkandung dalam firman Allah dalam surah A1-Baqarah:

“Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)

Definisi mu’aqabah (deraan) sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat di atas, seseorang mukmin apabila ia meneliti dan menghisab dirinya, lalu ia mendapati kekurangan pada amalannya atau ia telah melakukan dosa adalah tidak sepatutnya beliau mengenepikannya begitu sahaja apa yang telah dilakukannya. ini kerana dengan sifat menganggap mudah terhadap dosa yang dilakukannya akan mendorongnya untuk kembali melakukan dosa serta menyukarkannya untuk meninggalkan kemaksiatan. Bahkan sepatutnyalah beliau mengenakan satu hukuman (deraan) ke atas dirinya dengan deraan yang diharuskan sebagaimana beliau mendera keluarga dan anak-anaknya.

Dalam konteks ini, deraan ini bertindak sebagai penghalang kepadanya untuk melakukan dosa, seterusnya membawa kepada ketakwaan dan ke suatu kehidupan yang penuh dengan kelebihan dan kesejahteraan.

Ketika mana kita menyatakan: “Sudah sepatutnyalah beliau mengenakan satu hukuman ke atas dirinya dengan deraan yang diharuskan”, kenyataan ini ialah untuk mengelakkan serta berhati-hati melakukan deraan yang diharamkan seperti mendera dirinya dengan mengazabkan satu anggota badannya dengan menggunakan api, atau beliau mandi junub di satu lapangan yang terbuka di hari yang bersangatan sejuknya, atau beliau menghalang dirinya dari makan dan minum dalam bentuk yang boleh memberikan kemudaratan kepada dirinya.

Deraan seperti yang disebutkan di atas atau menyamainya adalah merupakan tegahan syarak yang mana terkandung dalam pernyataan firman Allah dalam surah Al-Baqarah:

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” (Al- Baqarah: 195)

serta apa yang difahami dari firman Allah:

“Dan janganlah kamu membunuh diri-diri kamu, sesungguhnya Allah adalah amat mengasihi kamu.” (An-Nisa’: 21)

Para salafus salih (Allah meredai mereka) telah memberikan contoh teladan betapa perilaku mereka dalam ketakwaan dan muhasabah mereka, serta kelaziman mereka mengenakan deraan ke atas diri mereka dengan deraan-deraan yang tertentu apabila berlaku perlanggaran dan keazaman mereka untuk melakukan ketaatan, sekiranya ada berlaku mereka mempermudahkan ketaatan tersebut. Kami tidak keberatan untuk mengutarakan beberapa contoh teladan.

Diriwayatkan dari baginda Umar Al-Faruq: Pada suatu ketika baginda telah keluar ke kebunnya dan sekembalinya (daripada kebunnya) didapati orang ramai telah sembahyang asar lantas baginda berkata:

“Sesungguhnya aku telah ke kebunku dan sekembalinya aku dari sana, aku dapati orang ramai telah sembahyang asar! Kebunku itu adalah merupakan sedekah untuk orang-orang miskin.”

Berkata Al-Laith: “Ini adalah kerana baginda telah luput sembahyang asar berjemaah.”

Juga diriwayatkan daripada baginda:

Bahawa baginda telah disibukkan oleh suatu urusan di waktu maghrib sehingga keluar dia biji bintang, manakala selesai baginda bersembahyang, baginda memerdekakan dua orang hamba.

Pada penilaianku sesungguhnya apabila seseorang pendakwah menghukum diri mereka apabila berlaku sebarang kecuaian sepertimana deraan-deraan di atas, maka sesungguhnya tidak diragui lagi bahawa beliau sedikit demi sedikit dengan pantasnya maju ke arah ketakwaan dan mempercepatkan perjalanannya di jalan kerohanian. Tanpa diragui lagi untuknya sampai di lingkungan tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.

5. Mujahadah

Asasnya terdapat di dalam firman Allah surah Al-Ankabut: “Dan orang-orang yang berusaha dengan ber sungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya  (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memper baiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)

Pengertian mujahadah sebagaimana pengertian ayat di atas, iaitu seseorang mukmin apabila diselubungi oleh perasaan malas dan condong kepada keduniaan serta gagal untuk melaksanakan amalan sunat dan ketaatan di waktunya maka beliau sepatutnya berusaha agar dapat menunaikan perkara-perkara sunat lebih banyak dan yang dibuat sebelumnya. Beliau memaksa serta mewajibkan dirinya dengan penuh semangat untuk berterusan mengekalkan amalan tersebut. Hinggakan kesemua amalan ketaatan yang merupakan paksaan pada awalnya, di suatu masa nanti akan menjadi kebiasaan dan sebati dalam dirinya.

Pada penilaianku, saudaraku pendakwah! Bahawa apabila engkau mengusahakan diri engkau dengan mujahadah yang sebegini dan melalui jalan yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. serta mengikuti jejak langkah para salafus salih, maka sesungguhnya engkau tidak diragui lagi sedikit demi sedikit maju ke arah ketakwaan, berjalan engkau di jalan kerohanian dan tiba engkau ke suatu sudut perhentian di tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.

Dan menurut Almarhum Ust Said Hawa, ada 4 rukun mujahadah.

1. Senyap - kurang bercakap, melainkan zikir dan perkara kebaikan.

2. Berlapar - kurangkan makan. Banyak makan akan melebarkan ruang syaitan yang masuk ke badan manusia melalui saluran darah.

3. Bersendirian atau uzlah - prinsip asas (al-aslu) dalam hidup bermasyarat ialah perlunya bercampur gaul (khultoh). Akan tetapi, perlu ada masa untuk kita bersedirian untuk bertawajjuh di hadapan Allah.

4. Kurangkan tidur.

~dunia baru
bumi Wakafan MADI

29 Sept 2011

Bebas merdeka

Best Blog Tips 8:50 AM 0 Comments

lama ia terkurung
dalam sangkar jiwa ini
meski beberapa kali dicuba mencari jalan keluar
namun pintu tiada ketemui apatah lagi kuncinya
hingga, jiwa ini membengkak menahan berontak rasa

saat ini ia mencuba lagi
pintu dilakar dan dilorek pada dinding hitam
benar-benar ia mahu bebas merdeka – dari sebuah jajahan minda
derita selama waktu telah memberi erti kehidupan padanya
tiada ingin ia melihat jasad dimamah noda yang berpanjangan
tiada ingin ia melihat akal dipandu nafsu yang bermaharajalela

ia perlukan sebuah kekuatan- untuk mengoyak sangkar itu
ia perlukan sebuah panduan – agar terus bebas merdeka

maka bisikkanlah pada ia
“apakah Al Quran tidak cukup untuk menjadi kekuatan dan panduan mu?”


junaidiahmad
~mengintai damai
13 Sept 2011
Utan Aji, Perlis

Jalan Menuju Ketaqwaan

Best Blog Tips 12:53 AM 1 Comments

Taqwa adalah suatu darjat yang dikejari oleh manusia yang beriman. Ulama Syria, Dr Abdullah Nasih Ulwan telah menulis dalam bukunya 'Menuju Ketaqwaan' beberapa jalan untuk mencapai ketaqwaan tersebut. Beliau telah mengariskan lima jalan yang harus diikuti oleh jiwa hamba dalam mencari redhaNya. Aku turunkan catatan beliau sebahagian (3 dari jalannya dan insyaAllah akan disambung dua lagi). Moga ia bermanfaat.

1.    Perjanjian (Mu’ahadah)

Asasnya terkandung dalam firman Allah di dalam Surah an-Nahl:

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah  kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (An-Nahl: 91)

Kaifiat (cara) perjanjian:

Seseorang mukmin itu mengasingkan dirinya (berkhalwat) di suatu tempat di mana (wujud di situ) hanya ia dan Rabb sahaja lalu ia berkata: “Sesungguhnya engkau wahai diri telah memberikan kesetiaan (perjanjian) kepada Allah di beberapa detik perhentian harianmu, pada detik tersebut engkau berdiri di hadapan Allah s.w.t., serta membisikkan kepada-Nya di dalam bahasa Arab yang nyata.

 “Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan mereka yang Engkau kurniakan nikmat ke atas mereka itu, bukannya (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” (Al-Fatihah)

Tidakkah wahai diri!

Di dalam munajat engkau itu terdapat suatu ikrar daripada engkau:

“Bahawasanya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepada Allah, tidak engkau memohon pertolongan melainkan dari-Nya, dan bahawasanya engkau akan tetap beriltizam di atas jalan-Nya yang lurus dan tidak ada padanya sebarang kebengkokan (jalan yang lurus). Itulah jalan Islam, seterusnya engkau telah berikrar tidak akan melampaui batasan jalanjalan mereka yang sesat dan dimurkai Allah yang mana mereka ini merupakan penganut agama serta ideologi yang lain (daripada Islam).”

Apabila sebegini keadaannya, beringatlah wahai diri!

Engkau tidak akan mencabuli perjanjian setelah engkau menjadikan Allah sebagai saksi atas ikrar engkau. Awaslah engkau daripada melencong dari jalan yang telah  digariskan oleh Islam serta mengikuti jalan golongan-golongan yang sesat dan menyesatkan setelah engkau menjadikan Allah sebagai saksi.

Seterusnya awaslah wahai diri dari kekufuran setelah keimanan, daripada kesesatan setelah (mendapat) petunjuk dan awaslah daripada kefasikan setelah beriltizam.

Barangsiapa yang membatalkan (mencabuli) perjanjiannya, maka sesungguhnya akibat pembatalan itu hanyalah tertanggung ke atas dirinya, juga barangsiapa yang sesat, maka sesungguhnya akibat kesesatan itu hanya akan ditanggung oleh dirinya sahaja. Bahkan seseorang yang melakukan dosa hanya memikul dosanya sahaja dan tidaklah Kami (Allah) mengazab sesiapapun sebelum Kami mengutus kepada mereka seorang Rasul untuk menerangi yang benar dan yang batil.

Pada penilaianku, saudaraku pendakwah! Sesungguhnya apabila engkau mensyaratkan (menetapkan) dirimu untuk terus tetap beriltizam di atas janji yang telah engkau meterai sehari semalam lebih dari tujuh belas kali, kemudiannya engkau memikulnya dengan penuh persetiaan dan pelaksanaan, maka sesungguhnya engkau tidak syak lagi sedikit demi sedikit maju ke arah ketakwaan, berjalan engkau di jalan kerohanian dan sampai engkau ke suatu lingkungan perhentian di tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.

2.    Muraqabah

Asasnya terkandung dalam firman Allah di dalam surah As-Syu’ara:  “(Allah) Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyang dan (melihat) gerak gerimu di antara orang-orang yang sujud.” (as-Syu’ara: 218 - 219)

Nabi ketika ditanya mengenai “Ihsan”:  “Bahawasanya engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, maka jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Pengertian muraqabah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Al-Hadis ialah menghadirkan (merasakan) kebesaran Allah di setiap waktu dan keadaan seterusnya mendampingi kepada-Nya diketika tersembunyi ataupun secara terang-terangan.

Kaifiat (cara) muraqabah:

Iaitu seorang mukmin mengamati dirinya sebelum beliau memulakan pekerjaan dan di pertengahan amalnya. Apakah gerakannya dalam mengerjakan amal ketaatan itu semata-mata untuk kepentingan dirinya atau mencari puji-pujian dan kemasyhuran nama, atauapakah geraknya untuk beramal itu semata-mata untuk mencari keredaan Allah dan kurnia balasan-Nya.

Sekiranya amalan yang hendak dilakukannya itu adalah semata-mata kerana Allah, ia akan terus melakukannya. Tetapi sekiranya amalan tersebut adalah semata-mata untuk kepentingan hawa nafsunya, ia tidak akan melakukannya. Seterusnya beliau memperteguhkan niat dan keazaman bahawa ia hanya melakukan sesuatu ketaatan pada setinggi-tinggi tingkat keikhlasan, kesungguhan dan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.

Demi kehidupanku, inilah dia keikhlasan yang sebenarnya, kesungguhan yang sejati dan pembebasan yang menyeluruh daripada kegelinciran ke lembah kemunafikan dan keriakan. Al Imam Hassan Al-Basri telah berkata: “Allah merahmati seorang hamba yang melakukan sesuatu berdasarkan niatnya, sekiranya (niat tersebut) semata-mata kerana Allah ia akan melakukan hal tersebut, akan tetapi sekiranya untuk selain daripada Allah ia akan meninggalkannya.”

Terdapat beberapa jenis muraqabah kepada Allah: “Muraqabah kepada-Nya ketika melakukan ketaatan ialah dengan melakukan amal tersebut, dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, muraqabah kepadanya dalam meninggalkan perkara maksiat ialah dengan taubat, penyesalan dan terus meninggalkannya, muraqabah kepada-Nya dalam melakukan perkara harus ialah dengan memelihara segala tatasusila dan bersyukur atas segala nikmat-Nya. Manakala muraqabah kepada-Nya ketika ditimpa musibah ialah menerima (musibah tersebut) dengan kerelaan kepada penentuan Allah dan dengan penuh kesabaran.

Dan pada penilaianku, saudaraku pendakwah! Sesungguhnya apabila engkau bermuraqabah kepada Allah sehingga ke tahap ini dengan penuh perhatian dan penumpuan yang penuh kepada-Nya, kemudian engkau berazam untuk terus mendampingi-Nya serta engkau memberikan sepenuh ketekunan untuk tetap mendekati-Nya. Maka sesungguhnya, engkau tidak diragui lagi—sedikit demi sedikit mahu ke arah ketakwaan, berjalan engkau di jalan kerohanian dan sampai engkau ke suatu lingkungan perhentian di tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.

3.    Muhasabah

Asasnya terkandung dalam firman Allah s.w.t., dalam surah Al-Hasyr:  “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas dari amalan-amalannya untuk harikamu.”

Allah berfirman:  “Pada hari (amalan) kamu dibentangkan dan tidak disembunyikan dari  kamu (Al-Haqqah: 18)

Hakikat muhasabah: Perbandingannya adalah sebagaimana adatnya seseorang peniaga yang beriman meneliti modalnya, keuntungannya serta kerugiannya untuk ia mengetahui sejauh mana pertambahan (keuntungannya) serta kekurangannya (kerugiannya).

Maka modalnya ialah: Islam serta apa yang terkandung di dalamnya sama ada berupa perintah atau larangan juga segala kewajipan berserta hukum-hukum.

Keuntungan pula ialah: dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan.

Manakala kerugian pula ialah dengan melakukan dosa dan maksiat.

Dalam pada itu ketika mana seorang mukmin mengamati segala modalnya, menilai keuntungan dan kerugian, seterusnya bertaubat kepada Allah terhadap segala kesilapan yang dilakukannya serta mengusahakan segala perbuatan yang dilakukannya adalah berupa kebaikan. Tergolo nglah beliau ke dalam mereka yang menghisab diri mereka sebelum mereka dihisab, menimbangi diri mereka sebelum mereka ditimbang. Seterusnya mengamati apa yang disediakan oleh mereka untuk hari esok (akhirat).

Dan pada penilaianku, saudaraku pendakwah! Apabila engkau sentiasa menghisab diri engkau di atas amalan-amalan yang engkau kerjakan sama ada kecil atau besar serta mengikat satu keazaman untuk mengadakan bagi diri engkau, satu waktu di akhir hari di mana di ketika tersebut engkau bersendirian bersama tuhanmu dan merenungi apa yang disediakan untuk hari yang akan datang. Maka sesungguhnya engkau tidak diragui lagi — sedikit demi sedikit maju ke arah ketakwaan, berjalan engkau di jalan kerohanian dan sampai engkau di suatu lingkungan perhentian di tingkatan para muttaqin yang dilimpahi dengan kebajikan.

(akan ku sambung dua jalan lagi.insyaAllah)

~mengintai taqwa
09 Sept 2011
D'Saji, Perlis