Showing posts with label Risalatul Mu'awanah. Show all posts
Showing posts with label Risalatul Mu'awanah. Show all posts

Kembara : Bab 2

Best Blog Tips 4:24 PM 0 Comments



Kembaraku kini menginjak hari ke tiga. 

Waktunya petang, matahari memancar terang tetapi angin yang menyapa menghilangkan rasa terik panas suria itu. 

Aku sekarang melalui sebuah denai menuju ke sebuah hutan. Aku yakin hutan itu adalah jalan pintas ke negeri sebelah. Di tepi denai, ada anak sungai yang mangalir. 

Tenang. 

Sesekali kelihatan anak-anak ikan bermain-main dicelah batu dan akar kayu yang ditenggelami air. Daun-daun kering luruh dari pokok-pokok tinggi disekitarnya, melenggok-lengok bersama angin sebelum jatuh kebumi. 

Aku melihat bayang-bayangku yang selalu setia bersama tuannya. Kini dia lebih panjang dari jasad aku, maka yakinlah aku bahawa Asar telah menjelma. 

“Mungkin aku Asar disini sahaja.” Getus hatiku.

Lantas, tanpa berfikir panjang, aku mencari tempat yang agak lapang untuk menunaikan kewajipan aku pada Tuhan yang menciptakanku.

Air sungai itu menjadi penyaksian aku. Ku uruti semua anggota wuduk dengan perlahan. Sejuk dan jernih sekali airnya. Semoga dengan jatuhnya air lebihan wuduk ke sungai bersama dosa-dosaku turut dibawa pergi.

Berpandukan arah terbit dan tenggelam matahari, aku membuat perkiraan arah kiblat seperti yang diajar oleh Sang Guru. Setelah ku yakin, maka ku hadapkan semua jasad dan jiwa serta fikiranku untuk membesarkan Allah.

“Allahu akbar!” lalu tenggelamlah aku dalam kenikmatan cinta.

Seusai berdoa,aku kemas kembali kain dan bekalanku dan mulai kembali perjalananku. 

Baru setapak aku langkahi, aku merasakan bumi tergoncang dan ku dengar derapan kaki. Semak samun dan pokok-pokok kecil bergerak seperti diberi roh dan ingin berlari. Jiwaku tersentak dan ketakutan. Tapi aku paku tapak kakiku agar tidak berganjak.

Tatkala saat itu, keluarlah pelbagai haiwan dari semak-samun itu. Kecil, besar. Merangkak dan melompat. Ada juga burung-burung terbang. Semuanya melintasi aku menuju ke arah satu tempat.

Ketakutan bertukar kehairanan. 

“Apakah makna semua ini?” 

“Dari mana mereka semua,dan kemana mereka tujui?”

Pelbagai persoalan yang menunjal akalku.

Persoalan ini hanya terjawab dengan satu jawapan, “Aku perlu ikut mereka!” tegas hati yang kehairanan dan inginkan jawapan.

Aku besarkan dan percepatkan langkah. Mengikuti mereka dengan penuh berhati-hati.
Sewaktu itu, sekilas aku pandang ke sungai di tepi kananku, terkejutnya aku, anak-anak ikan juga berlumba-lumba kearah yang sama.

Semua mergastua berhenti disebuah tanah yang sangat lapang. Begitu tertib mereka berkumpul.

Di tengah-tengahnya, aku lihat seorang manusia berpakaian putih. Aku anggar usianya mungkin 70 atau 80 tahun. Kedut-kedut tua jelas kelihatan diwajah. Berserban putih dan rida’ hijau dibahu. Namun aku masih boleh lihat warna rambut yang memutih kerana ia melepasi anak bahunya. 

Dia tersenyum sambil matanya melilau kiri dan kanan. Mungkin untuk memastikan kehadiran semua mergastua.

“SubhanAllah!” Terpacul dilidahku tatkata melihat peristiwa ini.

Aku yakin, ini adalah himpunan zikir dan tazkirah meski pendengarnya bukan manusia.

Saat itu aku teringat pesanan Sang Guruku, “ Pabila engkau lalu di tempat yang ada majlis ilmu, maka singgahlah. Rahmat Allah bersama kumpulan itu. Lalu tanpa membuang masa aku mengambil tempat ditepi sebelah seekor kancil. 

Sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku, lelaki tua bersuara,

“Alhamdulillah! Allahumma solli ‘ala saiyidina Muhammad!”

Aku sampaikan salam dari langit, salam yang diucapkan oleh para malaikatNya, salam yang diucapkan oleh para ahli syurga dengan kalimah Assalamualaikum wbt.”

Terkejut bukan kepalang hatiku pabila semua hadirin menjawab salam tersebut dengan lancar. Aku kaget, namun aku tenangkan hatiku. Allah mampu jadikan apa sahaja. Ku urut hatiku dengan kalimah kebesaranNya. Aku menjawab salam dengan suara yang kecil. 

“Wahai saudaraku, hendaklah engkau selalu teguh dalam berkeyakinan.Kerana bila keyakinan itu sudah kukuh dalam hatimu, segala sesuatu yang ghaib tiba-tiba dapat dilihat dengan jelas.” Luah lelaki tua itu.

“Keyakinan ialah kekuatan dan keteguhan iman yang sudah mendarah daging dan menyatu dalam hati, laksana sebuah gunung yang sangat besar.Kerana itu, segala bentuk keraguan dan ujian tidak mampu menggoyahkannya..” Tambahnya dengan suara lantang. 

Semua warga rimba memberi perhatian penuh pada ucapan tersbut. Anak-anak ikan pula berkumpul digigi sungai. Tenang. Sesekali aku dengar bunyi desiran angin memukul dedaun. Damainya.

Lelaki tua menyambung, “Jika keraguaan dan ujian itu datang dari luar, tutuplah kedua telinganya sedangkan hati tetap pada pendirian asal yang kukuh dan teguh.Bahkan syaitan pun tidak kuasa mendekati dan menggodanya kerana hati sudah dibentengi dengan keyakinan yang kukuh.Manusia yang memiliki ciri-ciri di atas ialah Umar bin Khattab, seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw:


"Syaitan akan lari apabila melihat bayangan Umar.Dan ia pun tidak berani berpijak pada jalan yang telah dilewati oleh Umar."(HR. Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Hibban dari Buraidah)”

“Saudaraku, ketahuilah antara sebab teguhnya keyakinan ialah telinga selalu mendengar Al-Quran dan hadis dan hati sentiasa merenungkan keagungan ALLAH, kesempurnaan, kebesaran dan keEsaanNYa, mempelajari kejujuran para Nabi, kesempurnaan mereka, mukjizat yang mereka bawa, serta seksa yang ditimpakan pada musuh-musuh mereka. Merenungkan segala sesuatu yang akan terjadi pada hari kiamat, pahala yang diperoleh orang-orang yang taqwa dan azab bagi yang berdosa.Cukuplah bagi kita memperkukuhkan keyakinan dengan penyebab pertama ini.” 

“Kedua, memperhatikan segala ciptaan ALLAH yang indah dan menakjubkan, baik yang ada di langit mahupun bumi.” Lalu beliau membacakan sepotong ayat al Quran dan diterjemahkan pada semua.

"Kami akan memberitahukan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di beberapa daerah dan (kekuasaan) yang ada pada peribadi mereka sendiri sehingga jelas bagi mereka bahawa ALLAH adalah (benar)."(QS. Ha Mim As Sajadah:53)

“Wahai saudarku yang mulia, sebab ketiga ialah bersungguh-sungguh dalam mengerjakan segala amalan dan tetap didasari iman dan taqwa. Firman ALLAH Taala:

"Dan orang-orang yang berjihad mencari keredhaan Kami. Sungguh, akan Kami tunjukkan pada mereka jalan-jalan Kami." (QS. Al Ankabut:69)”

Ku rasakan hatiku bergetar menyambut kalam-kalam yang diluncurkan oleh oleh sang murabbi ini. Ianya benar-benar datang dari hati yang ikhlas dan jujur.

Aku tatap matanya. Allahurabbi.. begitu tersentuh jiwaku. 

“Hadirin, buah keyakinan yang dapat kita rasakan bila kita kental dalam berkeyakinan antara lain kekuatan batin, ketenangan jiwa, perlindungan ALLAH swt. Cita-cita untuk selalu taat kepadaNYA, serta kekuatan maksima untuk mendapat redhaNYA.”

“Ringkasnya, keyakinan yang kental itu merupakan pokok dari segala sesuatu.Sedangkan darjat yang luhur, budi pekerti yang terpuji dan amal soleh adalah cabang dan buahnya. Bahkan baik buruk akhlak dan perilaku seseorang bergantung pada keyakinannya”

“Maka wahai saudaraku, benarlah kata Luqman Hakim :

"Amalan dapat dilakukan dengan adanya keyakinan.Seseorang hanya dapat beramal sesuai dengan kadar imannya. Dan bila keyakinannya berkurang, berkurang pulalah amalnya."

Dan ketahuilah oleh kalian bahawa keyakinan itu ada tiga peringkat,

“Pertama Ashabul Yamin, iaitu orang-orang yang percaya dan kental dalam iman, tapi pada saat-saat tertentu, jiwanya dapat digoncangkan oleh keraguan dan ujian.”

“Peringkat kedua pula disebut Al Muqarrabin iaitu orang-orang yang benar-benar kental dalam berkeyakinan, mereka mampu menguasi hati mereka dengan bermodalkan keteguhan iman dan taqwa.Segala bentuk keraguan dan ujian tidak akan mampu mengganggu dan merosak imannya.Bahkan sesuatu yang ghaib pun dapat terlihat dengan jelas, tingkatan ini dinamakan Iman bil yaqin.”

“Ada pun peringkat ketiga ialah tingkatan para Nabi dan pewarisnya. Pada tingkat tertinggi ini pun segala sesuatu yang ghaib dan tersembunyi dapat terlihat dengan sangat jelas dan nyata dan tingkatan ini disebut Iman bil kasyfi wal 'iyan.”

Aku sempat mencatat sedkit kalam-kalam agung ini sebagai bekalan kembaraku. 

“Seusai majlis ini akan aku bertemu dengan lelaki tua ini.” Cetus hatiku sambil jemari menari seindahnya di helaian kertas. Perasaan ingin tahu mengenai murabbi ini semakin membuak dan aku jua bercadang untuk tinggal beberapa hari disini untuk bersamanya mengoreksi hikmah-hikmah lain. 

“Wahai saudaraku, ingin aku akhiri majlis petang ini dengan menyeru pada semua jua diri dhaifku sama-sama kita tingkatkan amal. Sunnguh! Seluruh tingkatan di atas merupakan anugerah ALLAH yang diberikan kepada yang dikehendakiNYA. Hanya ALLAH lah yang memiliki keutamaan yang benarnya.”

“Itulah pesanku. Assalamualaikum wbt! ” Sebaik sahaja dia mengungkapkan buah bicara yang terakhir, dia bingkas bangun dan ghaib dihadapan hadirin.

Terkejut bukan kepalang aku. Kemana dia pergi? Manusiakah dia ini? Jin..malaikat..ataupun wali? Pelbagai persoalan-persoalan yang timbul dikepala. Tak mampu aku rungkai sendiri.

Aku bertanyakan pada si kancil disebelahku, namun lagaknya seperti tidak memahami bahasaku, sedangkan sewaktu majlis tadi mereka memahami untaian mutiara ilmu bahkan mereka mampu bercakap dan menjawab salam! 

Aku makin bingung.

Semua haiwan beransur dari majlis itu. Ikan-ikan kembali berenang mengikut haluan masing-masing. 

Misteri terus misteri. Meski aku dalam kebingungan atas apa yang terjadi, aku bersyukur kerana sempat mengutip hikmah yang ku rasakan amat bernilai, bahkan lebih nilaiannya dari seisi dunia ini.

Alhamdulillah! 

Kembara diteruskan.

faqir ilallah
junaidiahmad

Pesanan Kembara

Best Blog Tips 6:33 PM 0 Comments



Maka ketika aku ingin memulakan pengembaraan aku kembali, Sang Guru meletakkan tangannya yang mulia diatas bahuku dan memberi pesan,

“Anakku, perjalanan pengembaraan ini umpama perjalananan kita di atas dunia fana ini. Hendaklah engkau selalu mengawasi diri dalam setiap perbuatanmu. Dan hendaklah engkau sedar bahawa Allah selalu dekat denganmu.”

Mata Sang Guru redup membuatkan begitu senang memandangnya. Wajahnya bercahaya dengan cahaya wuduk yang tidak pernah hilang dari tubuhnya.Tenang jiwaku menatapnya.

“Inilah pesananku, maka berpesanlah jua pada manusia lain, sesungguhnya Allah Swt itu sangat menyukai hambaNya yang saling memberi pesan.”

“Anakku, Dia selalu mengetahui dan mengawasi segala perbuatanmu. BagiNya tidak ada sesuatu yang rahsia dan samar. Makhluk sekecil apapun yang ada dibumi dan langit tidakakan pernah lepas dari pengawasanNya.”

“Ingatlah bahawa Dia sentiasa mengetahui apa yang engkau bicarakan, baik engkau bersuara keras mahupun sir (rahsia). Di manasahajaengkauberasa, Diabersamamu, danDialah yang MahaKuasa.”

“Petunjuk, pertolongan dan penjagaanNya hanya tercurah kepadamu jika engkau tergolong orang-orang yang berbuat baik.”

Setiap bait-bait pesanan sang guru berpintal bersama desiran angin pagi yang sangat aman, menari nari didalam telingaku.

Sang guru perpesan lagi,

“Hendaklah engkau malu kepadaNya. Kerjakanlah perintah-perintahNya dan jauhilah larangan-laranganNya serta beribadahlah kepadaNya seakan-akan engkau melihatNya. Dan apabila engkau tidak melihatNya, ketahuilah bahawa Dia selalu melihatmu.”

“Dan jika di dalam hatimu timbul rasa malas pada ketaatan dan cenderung untuk mengerjakan kemaksiatan, katakan pada nafsumu!

“hai nafsu! Sesungguhnya Allah selalu mendengarmu, melihatmu dan mengetahui segala rahsia dan bisikanmu.”

Jika ia belum dapat menuruti nasihatmu kerana kurangnya dalam memahami keagungan Allah, maka peringatkanlah kepadanya akan dua malaikat yang selalu mencatat kebajikan dan kejahatan, iaitu Raqib dan Atid. Dan bacakan firman Allah;

“ Ketika dua malaikat yang mencatat amal duduk disebelah kanan dan disebelah kiri. Tidaklah perkataan yang dikeluarkan seorang melainkan disisinya ada malaikat Raqib dan Atid.” (Qaaf : 17-18)

“Jika nasihat tersebut tetap tidak dapat menghentikan tindakannya, berikanlah ia pengertian tentang kematian yang sudah semakin dekat. Dan kematian adalah satu rahsia yang dinantikan kedatangannya." 

“Apabila ajal telah menjemputnya sedangkan ia sentiasa mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah maka hanya penyesalan tiada habis yang ia peroleh.”

“Bila ia masih degil dan tidak menghiraukan nasihat itu, maka ingatkan ia sekali lagi tentang pahala besar yang dijanjikan oleh Allah, bagi mereka yang taat kepadNya. Dan kemudian katakanlah kepada nafsu :

“Hai nafsu! Tiada lagi kesempatan untuk bertaubat setelah kematian. Dan tiada lagi tempat setelah dunia ini, kecuali syurga dan neraka. Pilihlah mana yang engkau suka! Jika taat kepada Allah, maka kebahagiaan , keredhaan dan kekekalan di dalam syurga yang luaslah yang engkau terima, bahkan engkau pun akan peroleh nikmat yang terbesar yakni melihatNya. Jika engkau bermaksiat, tentu kehinaan, murka dan seksa nerakalah yang pasti engkau terima!”

“Sungguh wahai anakku, nasihat ini pasti membawa manfaat bagi kehidupanmu, didunia dan akhirat. Kembaralah dengan jiwa hamba, pasti kembaramu adalah kembara ke syurga!”

Aku memeluk erat tubuh Sang Guru dengan linangan air mata.Perit sekali saat ini. Berpisah dengan Sang Guru  membuatku terasa aku kehilangan segalanya didunia ini. Namun kukuatkan hati untuk melangkah kembara, kerna disana aku memerlukan sebuah jawapan. Jawapan tentang sesuatu yang aku cari selama ini.

“Aku pasti kembali!” Getus hatiku sambil meninggalkan Sang Guru yang semakin jauh dan kabur dari retina mataku. Akhir, wajahnya hilang ditenggelam kabus pagi yang tebal..

Bab 1 ( Risalatul Mu'awanah) : Keyakinan

Best Blog Tips 4:53 PM 0 Comments


Bismillah.

Izinkan aku panjangkan kalam ulama'.

**

Wahai saudaraku, hendaklah engkau selalu teguh dalam berkeyakinan.Kerana bila keyakinan itu sudah kukuh dalam hatimu, segala sesuatu yang ghaib tiba-tiba dapat dilihat dengan jelas seperti yang dikatakan oleh Ali bin Abi Thalib:

"Sudah terbuka mata hatiku maka bertambahlah keyakinanku."

Keyakinan ialah kekuatan dan keteguhan iman yang sudah mendarah daging dan menyatu dalam hati, laksana sebuah gunung yang sangat besar.Kerana itu, segala bentuk keraguan dan ujian tidak mampu menggoyahkannya..

Jika keraguaan dan ujian itu datang dari luar, tutuplah kedua telinganya sedangkan hati tetap pada pendirian asal yang kukuh dan teguh.Bahkan syaitan pun tidak kuasa mendekati dan menggodanya kerana hati sudah dibentengi dengan keyakinan yang kukuh.Manusia yang memiliki ciri-ciri di atas ialah Umar bin Khattab, seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw:

"Syaitan akan lari apabila melihat bayangan Umar.Dan ia pun tidak berani berpijak pada jalan yang telah dilewati oleh Umar."(HR. Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Hibban dari Buraidah)

Sebab-sebab teguhnya keyakinan

a. Telinga selalu mendengar Al-Quran dan hadis dan hati sentiasa merenungkan keagungan ALLAH, kesempurnaan, kebesaran dan keEsaanNYa, mempelajari kejujuran para Nabi, kesempurnaan mereka, mukjizat yang mereka bawa, serta seksa yang ditimpakan pada musuh-musuh mereka.

Merenungkan segala sesuatu yang akan terjadi pada hari kamat, pahala yang diperoleh orang-orang yang taqwa dan azab bagi yang berdosa.Cukuplah bagi kita memperkukuhkan keyakinan dengan penyebab pertama ini. Firman ALLAH Taala:

"Apakah belum cukup bagi mereka? telah Kami turunkan Al-Quran kepadamu, agar dibaca di depan mereka."(QS. Al Ankabut:51)

b. Memperhatikan segala ciptaan ALLAH yang indah dan menakjubkan, baik yang ada di langit mahupun bumi. Firman ALLAH swt:

"Kami akan memberitahukan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di beberapa daerah dan (kekuasaan) yang ada pada peribadi mereka sendiri sehingga jelas bagi mereka bahawa ALLAH adalah (benar)."(QS. Ha Mim As Sajadah:53)

c. Bersungguh-sungguh dalam mengerjakan segala amalan dan tetap didasari iman dan taqwa. Firman ALLAH Taala:

"Dan orang-orang yang berjihad mencari keredhaan Kami. Sungguh, akan Kami tunjukkan pada mereka jalan-jalan Kami." (QS. Al Ankabut:69)

Buah keyakinan

Buah keyakinan yang dapat kita rasakan bila kita kental dalam berkeyakinan antara lain kekuatan batin, ketenangan jiwa, perlindungan ALLAH swt.Cita-cita untuk selalu taat kepadaNYA, serta kekuatan maksima untuk mendapat redhaNYA.

Ringkasnya, keyakinan yang kental itu merupakan pokok dari segala sesuatu.Sedangkan darjat yang luhur, budi pekerti yang terpuji dan amal soleh adalah cabang dan buahnya.Bahkan baik buruk akhlak dan perilaku seseorang bergantung pada keyakinannya.

Luqman Hakim berkata:

"Amalan dapat dilakukan dengan adanya keyakinan.Seseorang hanya dapat beramal sesuai dengan kadar imannya.Dan bila keyakinannya berkurang, berkurang pulalah amalnya."

Rsulullah saw bersabda:

"Keyakinan adalah bahagian keseluruhan dari iman."(HR. Baihaqi)

Tingkat-tingkat keyakinan dalam keimanan

a. Ashabul Yamin

Iaitu orang-orang yang percaya dan kental dalam iman, tapi pada saat-saat tertentu, jiwanya dapat digoncangkan oleh keraguan dan ujian.

b. Al Muqarrabin

Iaitu orang-orang yang benar-benar kental dalam berkeyakinan, mereka mampu menguasi hati mereka dengan bermodalkan keteguhan iman dan taqwa.Segala bentuk keraguan dan ujian tidak akan mampu mengganggu dan merosak imannya.Bahkan sesuatu yang ghaib pun dapat terlihat dengan jelas, tingkatan ini dinamakan Iman bil yaqin.

c. Tingkatan para Nabi dan pewarisnya

pada tingkat tertinggi ini pun segala sesuatu yang ghaib dan tersembunyi dapat terlihat dengan sangat jelas dan nyata

Tingkatan ini disebut Iman bil kasyfi wal 'iyan.

Seluruh tingkatan di atas merupakan anugerah ALLAH yang diberikan kepada yang dikehendakiNYA.Hanya ALLAH lah yang memiliki keutamaan yang benarnya.

**

itulah kalam al Habib Saiyid Abdullah bin Alwi Al-Haddad. Semoga Allah rahmati beliau.

faqir ilallah
bumi wakafan MADI
08 Rabiul Awal 1433H